fbpx

60 pekebun resah pokok durian tak berbuah lebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saad Sabu menunjukkan pokok durian jenis IOI di kebunnya di Kampung Titi Teras, Yan yang kurang menjadi semalam.

YAN – Lebih 60 pekebun Dusun Durian Berkelompok Kampung Titi Teras, di sini berputih mata apabila tanaman durian diusahakan mereka tidak menjadi sehingga menjejaskan hasil pendapatan, musim ini.

Dakwa pekebun, keadaaan itu berlaku akibat faktor cuaca yang tidak menentu berikutan panas terik berterusan serta hujan le­bat menyebabkan bunga raja buah itu gugur.

Pengerusinya, Saad Sabu, 78, berkata, rata-rata pekebun di situ mengeluh kerana mereka kehilangan punca pendapatan lumayan pada musim buah tahun ini.

“Hampir kesemua peserta gagal meraih pendapatan selepas durian jenis musang king, IOI, kacang hijau dan cheni serta jenis kampung tidak menjadi berikutan bunganya gugur pada awal musim.

“Ia mengakibatkan keba­nyakan peserta hanya memperoleh kira-kira satu tan sahaja durian setakat ini berbanding tiga tan seorang pada musim lalu,” katanya yang turut menjual durian secara runcit dan borong kepada pelanggan.

Katanya, disebabkan itu, rata-rata peserta penanaman durian secara berkelompok tersebut baru sahaja memperoleh jualan kurang RM1,000 berbanding mencecah RM4,000 pada musim lalu.

Seorang peserta, Haron Latif, 80, berkata, dia terkejut melihat hampir keseluruhan 80 pokok duriannya hanya berbuah antara lima hingga 10 biji sahaja berbanding 100 ke 200 biji sepokok pada musim lalu.

“Cuaca panas terik yang kemudiannya disusuli dengan hujan lebat mengganggu proses pendebungaan dan menyebabkan pelbagai penyakit buah timbul.

“Kita turut gagal mengawal penyakit dan serangga kerana ubat dan racun yang disembur pada pokok tidak berkesan berikutan suhu terlalu panas selain dibawa air ketika hujan berikutan cuaca tidak menentu,” ujarnya.

Seorang peserta, Azhar Saad, 33, berkata, sepatutnya musim durian memberi peluang pekebun tingkatkan pendapatan daripada hasil buah durian.

Jelasnya, buah durian kawasan di situ sememangnya digemari pelanggan.

“Musim ini kami hanya mampu mengeluh kerana buah durian tidak menjadi dan gagal memenuhi kehendak pelanggan tetap seperti biasa ketika tibanya musim raja buah itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI