fbpx

SPM 2022: 15,479 calon di Pulau Pinang layak dapat sijil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar SMJK Chun Ling di Air Itam gembira meraikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang diperoleh pagi tadi. -Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Seramai 15,479 calon daripada 17,692 calon (90.21 peratus) yang hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Pulau Pinang layak mendapat sijil peperiksaan itu.

Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 4.18 peratus berbanding prestasi SPM tahun 2021.

Menurutnya, bagi Gred Purata Negeri (GPN) pula, bagi peperiksaan SPM Tahun 2022 untuk Pulau Pinang adalah 4.60 iaitu peningkatan 0.17 berbanding SPM tahun lalu.

“Prestasi SPM 2022 mencatatkan peningkatan dari segi peratusan calon yang mendapat sijil di mana kita berjaya mencapai angka 90 peratus buat pertama kali dan juga peningkatan dari segi GPN.

“Kita telah mengklasifikasi sekolah-sekolah di Pulau Pinang kepada empat kategori dan memberi perhatian khusus kepada sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2022 di Penang Free School (PFS), di sini hari ini.

Beliau memberitahu, daripada keseluruhan calon, seramai 19 orang calon berjaya mendapat semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil pada SPM 2022 berbanding 17 orang pada tahun 2021.

“Seramai 688 calon SPM 2022 di Pulau Pinang berjaya mendapat kombinasi A+, A dan A-, ia menunjukkan peningkatan berbanding keputusan sama bagi SPM 2021 iaitu seramai 666 orang mendapati kombinasi pelbagai A.

“Sebanyak 24 buah sekolah berjaya mencapai keputusan 100 peratus iaitu kesemua calon berjaya mendapati sijil SPM mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, bagi prestasi mata pelajaran pula, seramai 4,989 calon (29.23 peratus) yang menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu mencatatkan keputusan cemerlang manakala 16,344 (96.07 peratus) lulus subjek ini.

“Untuk mata pelajaran Sejarah pula, seramai 4,864 (28.39 peratus) mencatatkan keputusan cemerlang manakala 15,588 calon (90.99 peratus) calon lulus subjek berkenaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI