fbpx

Disamakan Nobita, Ismail Izzani tak kecil hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi Ismail Izzani tidak kisah disamakan dengan karakter animasi, Nobita.

PETALING JAYA – Penyanyi Ismail Izzani tidak berkecil hati dengan komen netizen yang menganggapnya tidak layak menjadi hero drama Bukan Hanya Sekadar Cinta sehingga disamakan dengan karakter animasi popular, Nobita.

Katanya, terlalu banyak kecaman lebih teruk dihadapi sejak terjun ke arus muzik perdana lebih tujuh tahun lalu membuatkannya kini semakin lali berdepan kritikan.

“Saya tidak kisah apabila ada orang menyamakan saya dengan watak daripada animasi Doraemon, Nobita sebab saya pernah terima kecaman yang lebih teruk daripada itu.

“Kiranya, saya enggan ambil kritikan penonton dengan serius walaupun ada yang mengatakan saya tidak sesuai untuk menggalas watak utama,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri, dia hanya ingin menjalankan tanggungjawab diberikan produksi dengan baik.

“Apabila diberikan kepercayaan menggalas karakter seorang lelaki yang sudah bergelar suami bernama Isa Rafael, saya cuba buat sehabis baik.

“Sebagai pelakon, saya juga pandang komen sebegitu dari sudut positif kerana itu bermakna mereka menonton Bukan Hanya Sekadar Cinta,” katanya lagi.

Jelas Ismail, 23, lagi, percubaan meneroka cabang seni lakonan perlu ditempuhi dengan kesabaran supaya dapat berkarya lagi pada masa akan datang.

“Mencabar diri membawakan watak utama atau menyertai arena lakonan dengan lebih serius menunjukkan fasa transisi yang positif.

“Kali pertama sebagai pelakon utama perlukan saya banyak belajar, sekaligus mendapatkan komen jujur bagi memperbaiki kekurangan,” katanya yang kembali berlakon selepas hampir setahun fokus terhadap nyanyian.

Terdahulu, sebilangan netizen mempertikaikan kredibiliti Ismail sebagai hero atas alasan terlalu muda untuk bergelar suami bergandingan dengan aktres asal Singapura, Sofia Dendroff.

Begitupun, dalam satu kenyataan Datuk A. Aida yang juga penerbit drama siaran slot Akasia TV3 itu, mutu lakonan Ismail wajar dipuji, selain tidak akan teragak-agak untuk menawarkannya beraksi dalam penerbitan seterusnya.

Selain Ismail dan Sofia, drama 28 episod yang disiarkan mulai 24 Mei lalu turut membariskan Muaz Zabir, Daniella Sya, Syamim Farid dan Liza Abdullah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI