JAKARTA – Seorang penghantar makanan di Indonesia menerima pujian netizen kerana memberi sumbangan makanan berupa 110 cucuk sate ke sebuah rumah anak yatim selepas menerima pesanan palsu, lapor laman berita Okezone semalam.
Berdasarkan klip video mengenainya yang tular di laman Instagram, seorang penghantar makanan tiba pada pintu pagar sebuah rumah tidak berpenghuni dan berkunci.
Terdapat iklan dipasang pada rumah itu memaklumkan kediaman tersebut adalah untuk dijual.
Penghantar makanan yang membawa pesanan 110 cucuk sate itu kemudian menyedari bahawa dia telah ditipu.
Tanpa menyalahkan individu yang membuat pesanan, dia sebaliknya membawa sate tersebut ke sebuah rumah anak-anak yatim terdekat di Kota Surabaya, wilayah Jawa Timur.
Pada pengakhiran video, dia menyerahkan sate tersebut kepada pengurus rumah anak yatim sebelum turut sama dijemput menikmati hidangan itu bersama para penghuninya.
Video itu mendapat perhatian netizen dengan ramai memuji tindakan lelaki berkenaan.
“Semoga Allah gantikan dengan rezeki yang tidak terduga,” kata seorang pengguna media sosial. – Agensi