fbpx

Kaunselor bantu jemaah lalui operasi masyair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas kaunseling TH bertanya khabar kepada beberapa jemaah ketika ditemui di bilik mereka di Abraj Al-Janadriyah di Mekah baru-baru ini.

MEKAH – Tabung Haji (TH) akan memilih sekumpulan jemaah yang mempunyai masalah kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental untuk mengikuti program peneman menjelang operasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah.

Pengurus Kaunseling TH, Mohamad Hanif Napi berkata, pemilihan akan dilakukan oleh beberapa pihak termasuk pengurus maktab, kaunselor, pembimbing ibadat haji Tanah Suci dan pakar kesihatan mulai 19 Jun ini berdasarkan kepada keseriusan kes.

Katanya, jemaah yang dipilih ialah dalam kalangan warga emas yang tidak mempunyai pengiring, tetapi bukannya pesakit terlantar.

“Operasi masyair sangat penting dan ketika itulah mereka ini akan ditemani kerana ada dalam kalangan jemaah kekurangan ingatan, perlu dibawa ke bilik air dan mewakilkan ibadah melontar jika kurang mampu.

“Kaunseling juga dilakukan sebelum masyair iaitu ketika mereka berada di dalam maktab kerana berdasarkan pengalaman terdahulu ada berlaku isu keluarga atau tak selesa tinggal di dalam bilik atas sebab tertentu,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad Hanif, menjadi tanggungjawab mereka memastikan jemaah dapat menjalankan ibadat dengan sempurna menerusi kaunseling yang menggunakan pendekatan psikologi Islam.

Tambahnya, seramai lapan anggota petugas akan melakukan ziarah dari bilik ke bilik bagi mengesan sekiranya terdapat isu dalam kalangan penghuninya.

“Kita mahu jemaah melalui fasa kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental bagi mengimbangi operasi masyair yang sangat mencabar,” katanya.

Ujar Mohamad Hanif, unit kaunseling juga menyediakan sudut ekspresi diri dan bilik khas untuk mendengar masalah jemaah di setiap maktab.

“Terdapat tiga kaedah yang digunakan dalam pendekatan itu iaitu pencegahan awal, lawatan silaturrahim dan mengetengahkan infografik kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental dalam aplikasi THhujjaj,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI