fbpx

Gaji RM5,000 sekadar cukup makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Biarpun memiliki pendapatan bulanan sebanyak RM5,000, namun ia hanya sekadar ‘cukup makan’ bagi seorang lelaki yang mempunyai tanggungan seorang isteri dan lima anak.

Menerusi perkongsian di Facebook, Amirulz Mdd meluahkan dia juga terpaksa berhutang dengan meminjam duit daripada kenalan.

Dalam hantaran sama, dia turut menyenaraikan perbelanjaan bulanannya seperti bayaran ansuran kereta sebanyak RM550 dan sewa rumah flat berjumlah RM700.

“Tambah Netflix sebulan RM33, bagi mak (RM800) ,nafkah isteri (RM800), bil eletrik (RM80), barang dapur pula RM900 (kering, basah untuk empat kali beli).

“Belanja sekolah untuk lima orang anak dalam RM400 termasuk pengangkutan (bas). Tinggallah RM600 untuk saya tambah nilai kredit telefon dan isi minyak motor.

“Saya tak hisap rokok dan vape, tidak ada Cucko atau Coway serta tak ambil hibah mahupun insurans. Setiap hari bawa bekal, itu pun asyik meminjam,” katanya, hari ini.

Ujarnya lagi, dia juga tidak dapat mengurangkan jumlah duit yang diberi kepada ibunya kerana perlu menyara dua lagi beradiknya yang juga orang kelainan upaya (OKU).

Tambahnya, dia juga sedih apabila tidak mampu untuk membawa keluarganya bersiar dan berjalan terutama di pusat beli-belah.

“Engkau ingat gaji RM5,000 dah cukup ke? Nak keluar berjalan pun tak lepas. Kesian tengok anak ke taman permainan sahaja.

“Nak jugak bawa tengok wayang ke, makan ‘best-best’ ke. Bapa-bapa faham lah perasaan ni. Cuma lelaki dia banyak diam,” ujarnya.

Bagaimanapun, selain menerima kata-kata positif, ada juga yang mempersoalkan tentang nafkah isterinya yang disifatkan terlalu tinggi.

Dalam pada itu, Amirulz Mdd menjelaskan jumlah nafkah tersebut adalah sangat rendah dibandingkan kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh seorang isteri.

“Saya pernah tinggal di rumah waktu cuti, seminggu saya cuba buat kerja dia. Dua kali ganda penat dan 24 jam kena hadap kerenah anak-anak serta basuh baju dan masak. Memang letih.

“Bagi saya RM800 untuk diberi kepada isteri dah sikit sangat sebab saya kasihan dia penat. Saya lebih rela turun berkerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI