fbpx

Young Tigress tewas tipis kepada India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPTEN Malaysia, Nur Insyirah Effarizal beraksi cemerlang ketika menentang India pada aksi kedua Piala Remaja Asia di Kakamigahara hari ini. - AHF

PETALING JAYA – Hasrat skuad hoki remaja wanita untuk meletakkan ‘sebelah kaki’ ke separuh akhir Piala Remaja Asia tertangguh seketika selepas tewas 1-2 kepada India hari ini.

Kekalahan dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara, Jepun itu menyaksikan skuad Young Tigress jatuh ke tangga ketiga di belakang India dan Korea Selatan.

“Saya bangga dengan rakan sepasukan kerana kami telah memberikan persembahan yang sangat baik walaupun keputusan tidak memihak,” kata pemain negara, Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin.

Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi gol padang tetapi kelebihan itu tidak bertahan lama apabila India bangkit mengikat kedudukan hasil pukulan sudut penalti Mumtaz Khan empat minit kemudian.

India yang meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja 2022, kembali mendahului 2-1 selepas Deepika menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-26.

PEMAIN Malaysia, Norshafiqha Ishak (kanan) bersaing dengan pemain India pada aksi Kumpulan A Piala Remaja Asia di Kakamigahara hari ini. – AHF

Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan terutama first runner kerana berjaya menafikan India menambah jaringan apabila hanya bocor satu gol daripada 12 pukulan sudut penalti sepanjang 60 minit permainan.

Esok, skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu dijangka tiada masalah untuk kembali berada di landasan kemenangan menentang Uzbekistan yang sudah dibolosi 35 gol dalam dua perlawanan terakhir mereka.

“Kita perlukan kemenangan esok untuk terus memberikan saingan dalam peringkat kumpulan ini. Saya harap para pemain fokus dan beri persembahan terbaik untuk aksi esok,” kata Lailin.

Kemenangan esok pasti kembali membakar semangat barisan pemain untuk menewaskan Korea Selatan dalam usaha mara ke separuh akhir sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan A.

Sebagai rekod, tiga tiket ditawarkan daripada kejohanan itu untuk layak automatik ke Piala Dunia Remaja 2023 di Santiago, Chile pada Disember nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI