fbpx
KHIR RAHMAN

Ada rupa, ada maaf sikit – Khir Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH tiga dekad bergelumang dalam dunia hiburan, aktor berkaliber Khir Rahman menitip pesanan buat bintang baharu agar memberi jiwa 100 peratus dalam setiap naskhah yang diterajui. Baginya, usah terlalu selektif, namun harus mampu meninggalkan impak dalam setiap karya.

Membina kerjaya sejak lebih tiga dekad lalu bukan satu perjalanan yang mudah buat seorang pelaku seni bernama Khir Rahman.

Dia tidak memiliki rupa paras persis ‘oppa’ dan hanya berlandaskan bakat dan karisma dimiliki. Itu yang dituturnya tanpa ada sedikit rasa terkilan tetapi lebih ke arah kesyukuran.

Katanya, rasa syukur timbul kerana keberadaannya dalam dunia seni sehingga hari ini membuktikan bakat yang dimiliki masih dihargai di tengah kemunculan lambakan pendatang baharu.

Tolak ke tepi cerita mengenai kerjaya seninya, aktor berusia 50 tahun itu gembira melihat perkembangan semasa dunia lakonan tanah air apabila muncul bakat-bakat ‘segar bugar’ yang dilihat mampu memberi impak terhadap industri seni.

MASIH dalam perancangan, Khir bakal mengarahkan sebuah filem bergenre aksi yang dijangka memulakan penggambaran pada akhir tahun ini.

Bakat baharu

Kagum! Sepertinya perkataan tersebut yang berulang kali terbit daripada bibirnya sepanjang berbicara mengenai hal tersebut.

Antara yang dikagumi dan dilihat banyak potensi ialah kualiti yang dicetuskan barisan pelakon drama Projek: High Council.

“Saya ada menonton drama tersebut dan terkejut masih ada pelakon baharu yang bagus seperti mereka.

“Mereka hadir dengan pakej, jiwa seni juga sudah ada cumanya perlu digilap lagi jika ingin menjadi seorang bintang,” katanya kepada HibGlam usai majlis pelancaran I Can See Your Voice

Malaysia musim keenam (ICSYVM6), baru-baru ini.

Selain bakat yang boleh digilap, menurutnya, ideologi yang dibawa beberapa pelakon baharu tidak hadir dengan tangan kosong sahaja.

“Mereka hadir dalam industri ini juga bukan secara ‘kosong’ namun membawa satu pemikiran sendiri.

“Contohnya Nadhir Nasar yang ada pemikiran dan pendirian sendiri, bukan sekadar berseronok sahaja dalam industri,” ungkapnya.

Ujarnya, rupa paras kacak atau cantik dimiliki segelintir pendatang baharu boleh digunakan sebagai ‘tiket ekstra’ untuk meloloskan diri daripada sebarang serangan berbisa masyarakat.

“Apabila ada rupa, akan ada maaf sedikit daripada masyarakat.

“Contohnya, kalau mereka lakukan sesuatu yang merepek, rupa paras yang kacak boleh menjadi ‘tiket’ melepaskan mereka daripada sebarang bentuk kecaman,” katanya lagi.

SELAIN lakonan, dia juga merupakan salah seorang panel penyiasat dalam program ICSYVM6 bersama Ropie dan Jihan Muse. – FIRDAUS JOHARI/ihsan TV3

Namun begitu, pemilik nama penuh Khairulizam Abdul Rahman itu menasihatkan agar khalayak tidak memandang rupa paras semata-mata sehingga menenggelamkan apa yang utama iaitu bakat.

“Jangan sampai sebab rupa, bakat dibuang begitu sahaja.

“Cari yang ada bakat, kerana perkara itu boleh diasah.

“Mereka perlu pastikan yang dipertaruhkan ialah bakat, bukan rupa. Sebab golongan wajah cantik dan kacak ini bersilih ganti dengan sangat cepat.

“Mereka perlu tahu bagaimana untuk memastikan setiap tugas dilakukan meninggalkan kesan terhadap industri dan penonton, sebab mereka dibayar,” jelasnya panjang lebar.

SELAIN platform digital, Khir lebih tertarik menerima tawaran untuk telefilem kerana watak yang diberikan lebih mencabar kemampuannya sebagai pelakon.

OTT vs arus perdana

Berbicara mengenai kerjaya seni, Khir mengakui teringin untuk berlakon dalam slot drama popular seperti Samarinda dan Akasia.

Namun, hasrat itu perlu ditangguh atau dilupakan kerana kekangan bajet dan tidak bersesuaian dengan jiwanya.

“Saya tak selektif tetapi hidup saya ditentukan oleh keadaan dan teringin juga hendak berlakon untuk drama televisyen seperti slot-slot popular tetapi itu mungkin bukan liga saya.

“Ada dapat tawaran tetapi saya sedar jika terlibat dengan slot tersebut, keghairahan sebagai pelakon perlu tolak tepi dan melakukannya semata-mata untuk mencari makan,” kongsinya.

Malah, kekangan bajet dan pertindihan jadual kerja juga antara faktor yang mempengaruhi keputusannya.

“Kadang-kadang bajet ditawarkan sangat sedikit.

“Kebetulan yang banyak datang pada saya ialah tawaran premium seperti dari platform digital seperti Viu dan Netflix. Itu yang akan menjadi keutamaan saya.

“Saya rasa lebih dihargai apabila bekerja dengan produksi digital, mereka terbuka untuk para pelakon berkarya,” ujarnya mengakhiri bicara.

KHIR menegaskan, rupa paras yang sering dibanggakan segelintir anak seni sebenarnya tidak akan berkekalan lama berbanding bakat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN