fbpx

[VIDEO] Remaja maut motosikal Yamaha RXZ rempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muahammad Akid maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta Proton Persona di persimpangan lampu isyarat dekat Astaka Seagate, Bayan Baru pagi tadi.

GEORGE TOWN – Malang nasib seorang remaja lelaki apabila motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Akid Mat Rozi, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Balik Pulau dikatakan sedang menunggang motosikal dari arah Batu Maung ke pusat bandar manakala kereta jenis Proton Persona dalam keadaan membelok ke kanan ketika lampu isyarat bertukar hijau.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, akibat kejadian itu, pemandu kereta berusia 18 tahun mengalami kecederaan luka pada tangan kiri.

“Penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Ambulans Bulan Sabit Merah.

“Siasatan di tempat kemalangan mendapati kejadian berlaku ketika hujan renyai. Polis juga sedang mengesan seorang lagi penunggang motosikal bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beritahu beliau lagi, bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Balik Pulau.

Terdahulu, tular video berdurasi sembilan saat memaparkan kejadian kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha RXZ yang dipercayai melanggar lampu merah dan merempuh sebuah Proton Persona yang sedang membelok ke arah kanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI