fbpx

BWF ada sebab kukuh senarai nama Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) bergambar bersama para peserta yang menyertai Balik Pulau Half Maraton 2023 di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini.

BALIK PULAU – Kementerian Belia dan Sukan yakin Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mempunyai sebab kukuh untuk menyenaraikan lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran BWF 2023 baru-baru ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, ini kerana pemilihan Chong Wei itu dibuat berdasarkan data dan statistik yang dimiliki BWF.

“Kalau kita lihat data dan statistik, saya percaya BWF mempunyai sebab yang kukuh sebelum mereka memberi pengiktirafan tersebut, dan kita memang berbangga dengan pencapaian Chong Wei,” katanya selepas menghadiri Balik Pulau Half Maraton 2023, di Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Chong Wei, 41, dan Lin Dan, telah dimasyhurkan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023 atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton.

Penguasaan Chong Wei dalam arena badminton menyaksikan, beliau meraih 47 gelaran Siri Super /Jelajah Dunia BWF sepanjang 19 tahun penglibatannya dan memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.

Namun baru-baru ini, lagenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat melalui satu video tular di media sosial, mempersoalkan kelayakan Chong Wei disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF tersebut.

Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau berharap lebih ramai Ahli Parlimen mengambil inisiatif untuk menganjurkan acara-acara seperti Balik Pulau Half Maraton 2023 bagi membangunkan sukan dan juga ekonomi setempat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI