fbpx

Belum untung punca tunggakan bayaran KWSP, Perkeso pemain Kelantan FC – Zamsaham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norizam (kanan) semasa menjawab pertanyaan penyokong pada Majlis Ramah Mesra Bersama Fans TRW di Kota Bharu hari ini. FOTO MUSTAQIM MOHAMAD/KOSMO!

KOTA BHARU – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham menegaskan pihaknya komited dalam melunaskan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pemain kerana ia turut berkaitan dengan perlesenan kelab.

Menurutnya, beliau mendahulukan wang poketnya sendiri untuk membayar tunggakan tersebut yang sudah mencecah lebih RM400,000.

“Kita sudah mula membayar. Jika tidak, lesen kelab tidak boleh disambung. Kelab-kelab yang boleh menyambung perlesenan adalah atas sebab mereka sudah membayar dan ada perancangan untuk susun semula pembayaran KWSP dan Perkeso.

“Jadi, Kelantan FC memberi komitmen tinggi terhadap perkara ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan penyokong pada Majlis Ramah Mesra Bersama Fans The Red Warriors (TRW), di sini hari ini.

Norizam memberitahu, masalah itu berlaku kerana kelab berkenaan belum mencapai keuntungan dan pihaknya perlu mengutamakan pembayaran gaji pemain terlebih dahulu.

Katanya, industri bola sepak negara boleh memberikan keuntungan tetapi bukan pada hari ini dan pemilik kelab perlu terlebih dahulu mengorbankan masa, tenaga selain komitmen demi keuntungan yang mungkin hanya boleh dirasai dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Perbelanjaan bulanan kita mencecah RM1 juta, tetapi hasil pendapatan daripada jualan tiket dan sebagainya hanya RM800,000. Jadi, kita rugi RM200,000 dan kita ada dua pilihan sama ada bayar gaji atau bayar caruman KWSP serta Perkeso.

“Apabila kita rugi dan pemain-pemain mahukan gaji mereka terlebih dahulu, maka pihak pengurusan pilih untuk memberi keutamaan kepada pembayaran gaji terlebih dahulu. Jadi, kenapa tidak membayar caruman KWSP dan Perkeso? Sebab belum untung,” ujarnya.

Zamsaham berkata, keuntungan sesebuah kelab bola sepak hanya boleh dirasai selepas industri bola sepak negara berada pada tahap profesionalisme dalam erti kata sebenar.

“Potensi industri bola sepak negara mempunyai nilai semakin menaik untuk tahun-tahun kehadapan, tetapi ia masih memerlukan masa. Dengan penglibatan tokoh-tokoh seperti Tengku Mahkota Johor banyak kelab-kelab telah mempertingkatkan sistem dan fasiliti.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga telah menunjukkan profesionalisme terutamanya melalui langkah perlesenan kelab yang memerlukan pematuhan enam kriteria utama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI