fbpx

Nasi kandar dorong vokalis D’Masiv langgar pantang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
D'Masiv

KUALA LUMPUR – Sanggup ‘berpantang’ selama dua bulan demi Konsert D’Masiv Road To The World di Malaysia, namun vokalis D’Masiv, Rian tewas kepada godaan nasi kandar yang menjadi kegemarannya.

Akui pemilik nama penuh Rian Ekky Pradipta itu, rejim dietnya cukup ketat apabila tidak mengambil makanan pedas dan ais bagi menjaga vokal untuk membawakan 50 lagu selama dua malam berturut-turut, bermula malam ini.

“Sebenarnya sudah dua bulan saya melakukan persediaan rapi dari segi mental dan fizikal disebabkan untuk konsert di Kuala Lumpur ini D’Masiv akan beraksi selama dua malam dengan anggaran 50 seleksi lagu.

“Selain jogging setiap pagi untuk menjaga stamina, saya elakkan daripada mengambil ais dan makanan pedas serta berempah untuk menjaga suara.

“Tetapi akhirnya kelmarin saya langgar pantang kerana tak tahan menanggung keinginan menikmati nasi kandar yang sememangnya menjadi kegemaran saya.

“Namun air sejuk serta ais tetap berjaya saya elakkan bagi memastikan tahap vokal saya bertahan untuk konsert tiga jam itu nanti, apatah lagi persembahan tersebut diadakan dua malam berturut-turut,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Kumpulan popular Indonesia itu ‘diterbangkan’ Neptunes Presents ke Kuala Lumpur bagi konsert ulang tahun ke-20 mereka yang bakal berlangsung di Zepp KL pada 2 dan 3 Jun ini.

Menurut Rian lagi, bagi memastikan vokal dan kesihatan tekaknya terjaga, dia turut mengamalkan kurang bercakap menjelang hari konsert.

Selain Rian, D’Masiv turut dianggotai Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Sebelum ini tiket konsert tersebut laris dijual dalam tempoh 48 jam sehingga mendorong Neptune Presents selaku penganjur menambahkan lagi persembahan untuk satu malam lagi.

Sementara itu, Nabila Huda selaku penganjur memaklumkan pihaknya menampilkan bekas vokalis kumpulan popular Nidji, Giring untuk memeriahkan konsert D’Masiv pada malam kedua.

Manakala bagi konsert malam pertama pula membariskan Is Pusakata yang bakal berduet dengan D’Masiv menyampaikan lagu Ingin Lekas Memelukmu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI