fbpx

Benih patin dijangka stabil Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nur Ashry (kanan) melihat proses pembenihan ikan patin di PPA Perlok, Jerantut semalam.

JERANTUT – Pengeluaran benih patin di Pahang akan kembali stabil selewat-lewatnya Oktober ini selepas Jabatan Perikanan me­ningkatkan pengeluaran benih ikan itu melalui Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) dan pengeluar benih patin swasta.

Timbalan Pengarah Perikanan Pahang, Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, sebanyak 9.12 juta benih patin disasarkan akan dikeluarkan menjelang Oktober.

“Jabatan melalui PPA Perlok, PPA Bukit Tinggi di Pahang dan PPA Tapah di Perak telah memfokuskan aktiviti pembenihan patin. Ia bagi menyokong permintaan benih semasa dengan sasaran 600,000 benih dikeluarkan, manakala benih selebihnya daripada pihak swasta.

“Di PPA Perlok sahaja, kita meningkatkan pengeluaran sekali ganda iaitu sebanyak 200,000 benih patin berbanding 100,000 benih sebelum ini,” katanya di PPA Perlok, di sini semalam.

Menurutnya, dalam usaha meningkatkan penghasilan benih ikan patin, Jabatan Perikanan juga menggalakkan penyer­taan pihak hatcheri swasta untuk meningkatkan pengeluaran benih seperti dilakukan Syarikat Zam Aquatic.

Katanya, syarikat itu telah mengimport benih patin dari Indonesia pada peringkat larva dan dijaga sehingga saiznya satu inci sebelum dijual kepada pusat asuhan lain di sekitar Jerantut.

“Galakan pembukaan nurseri baharu oleh pihak swasta juga akan diteruskan dengan menggunakan kaedah terkini iaitu ‘bio­flok’ yang mengeluarkan benih lebih tahan lasak, kadar hidup lebih 95 peratus dan juga menjimatkan makanan ikan,” ujarnya.

Katanya, kekurangan benih patin di negeri ini berlaku ekoran pelbagai faktor termasuklah cuaca tidak menentu, bencana banjir dan kematian ikan patin yang dipelihara di dalam sangkar.

Jelasnya, kekurangan bekalan patin di Pahang mula ketara sejak kejadian banjir pada penghujung 2021, menyebabkan pembekal benih utama dari Perak, Sela­ngor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang terjejas.

“Tengkujuh yang berlaku se­awal Oktober 2022 menyebabkan penternak me­ngurangkan akti­viti ternakan kerana bimbang banjir berlaku semula.

“Permintaan bekalan benih patin amat tinggi kerana semua penternak memulakan ternakan secara serentak di seluruh negara selepas banjir 2022/2023 khususnya di Pahang,” ujarnya.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan bekalan ikan patin sangkar di Jerantut dan Temerloh semakin kritikal, malah dijangka hanya mampu bertahan dalam tempoh beberapa bulan lagi ekoran kekurangan benih ikan.

Selain menjejaskan sumber pendapatan pengusaha ikan sangkar, keadaan itu menyebabkan penggemar ikan patin seluruh negara bakal kempunan untuk terus menikmati keenakan ikan itu terutama masakan patin tempoyak.

Berita berkaitan: Bekalan patin makin kritikal, hanya bertahan beberapa bulan 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI