PETALING JAYA – Menoreh lengan menggunakan objek tajam seperti pisau kini menjadi trend baharu dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) kononnya sebagai satu terapi bagi menghilangkan depresi.
Kegiatan yang dikenali sebagai barcode itu dikatakan semakin berleluasa dan lebih membimbangkan apabila mereka yang melakukan tindakan berbahaya tersebut seolah-olah tidak merasai kesakitan akibat perbuatan itu.
Hasil temu bual Kosmo! dengan beberapa mangsa mendapati, kebanyakan mereka yang sanggup menoreh lengan sendiri sehingga berdarah dan berparut adalah mereka yang sedang mengalami tekanan hidup atau depresi.
Seorang penuntut IPT yang ingin dikenali sebagai Ila, 23, mengakui dia menoreh lengannya sendiri hanya kerana ingin melupakan masalah yang mengganggu fikirannya ketika itu.
“Saya pernah menjadi mangsa seksual oleh sepupu sendiri selain masalah keluarga yang tidak pernah habis sehingga ke hari ini. Saya mula mengalami tekanan sejak di sekolah rendah lagi.
“Setiap kali sendirian, saya akan dibayangi kesengsaraan lama, buatkan saya tertekan sehingga menoreh lengan supaya dapat menghilangkan tekanan. Saya lebih rela sakit akibat luka daripada sakit otak,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dia juga tidak menafikan, ada kalanya diganggu oleh satu ‘bisikan’ yang memaksanya mencederakan diri sendiri dengan cara menoreh lengan.
“Saya ada makan ubat hospital untuk mengatasi depresi, tetapi tidak semua waktu ia sesuai dan saya rasa dengan melukakan diri, ia membuatkan saya lebih tenang,” ujarnya.
Seorang pelajar sekolah menengah, Aidini, 17, pula berkata, dia berdepan dengan masalah kemurungan tahap serius sejak dua tahun lalu sehingga sanggup mencederakan diri sendiri.
“Perasaan sunyi, berfikiran negatif, tertekan dengan perceraian ibu bapa saya antara sebab saya menghadapi masalah ini.
“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ibu bapa saya bercerai dan saya bersama adik tinggal dengan ibu.
“Hidup kami berubah 360 darjah apabila hari-hari ibu marah saya sebab dia sendiri tertekan kerana terpaksa membesarkan anak-anaknya seorang diri.
“Pada suatu hari, ibu sanggup tampar muka saya, sehingga saya merajuk dan berkurung di dalam bilik mandi. Tanpa sedar, saya ambil pencukur dan lukakan lengan dan akhirnya lega sampai tertidur kepenatan,” ujarnya.
Menurutnya, sehingga kini dia masih melakukan perkara sama setiap kali tidak dapat menanggung perasaan marah dan tertekan gara-gara membesar dalam sebuah keluarga ‘hancur’.
Berbeza pula dengan cerita seorang remaja lelaki yang dikenali sebagai Alif, 19, berkata, angkara kecewa dalam percintaan, dia sanggup mencederakan diri sendiri sehingga terpaksa dirawat di hospital selama dua hari.
“Mula-mula saya hanya toreh dua tiga garis pada lengan dan hantar gambar kepada bekas kekasih dengan harapan dia akan kasihan saya.
“Tetapi saya silap, dia siap cabar saya untuk buat lebih teruk kalau betul sayangkan dia, sehingga saya dirawat di hospital selama dua hari akibat kehilangan darah yang banyak.
“Sebab perempuan ramai lelaki boleh jadi bodoh, sama macam saya selepas ditinggalkan wanita,” ujarnya.
Katanya, kali pertama dia menoreh lengan pada 2016, dan sehingga kini, dirinya seperti sudah ‘ketagih’ untuk melakukannya lagi terutama ketika berada dalam perasaan kecewa.
“Kalau 2016 dahulu saya buat sebab perempuan, tapi sekarang macam ketagih. Setiap kali ada masalah, rasa kecewa dengan diri sendiri, saya toreh anggota badan termasuk betis dan paha,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang guru berkongsi kisah pelajarnya yang turut terjebak dengan trend barcode apabila dia mendedahkan tujuh daripada 15 pelajar perempuan di dalam kelasnya terlibat dengan kegiatan tidak bermoral tersebut.
“Ada yang buat sebab suka-suka. Nampak kawan-kawan buat, nampak ada konten di media sosial ada orang
buat, dia buat juga. Stres sikit, ambil pisau toreh-toreh di tangan. Rasa lega katanya lepas buat.
“Punca paling banyak adalah hadapi masalah keluarga. Solusi? Buat barcode pada tangan untuk lupakan masalah dan ibu bapa pun tak tahu anak-anak mereka melakukan perkara ini,” katanya.














