fbpx

Lelaki berebut bawa anak ke klinik didenda RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Seorang duda didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya kerana ingin membawa anak mereka ke sebuah klinik di Taman Cempaka, tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Syazwan Izzuddin Samsudin, 30, yang membuat pengakuan tersebut bagi pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Norfarhana Azlin Azman, 24, yang ketika itu merupakan isterinya dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kiri muka, lengan, leher dan badan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di kaki lima hadapan pintu masuk Klinik Famili Taman Cempaka dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Ogos 2022.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca daripada salah faham antara tertuduh dengan mangsa kerana berebutkan anak mereka yang ketika itu berusia tujuh bulan.

Difahamkan bayi tersebut tidak sihat dan tertuduh ingin membawanya ke klinik, namun dihalang oleh mangsa.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Peguam Haslinda Abu Bakar bagaimanapun memohon hukuman ringan diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain perlu menanggung anak dan ibunya dengan hasil pendapatan bekerja di sebuah kilang elektronik.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI