fbpx

AirAmbulance A400M sedia laksana misi Medevac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mejar Syahmi berada dalam Air Ambulance yang berperanan membawa bekalan perubatan dan pesakit.

PESAWAT pengangkut A400M yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 2015 melaksanakan pelbagai misi termasuk   mengangkut kargo dan anggota, misi kemanusiaan serta pengisian minyak di udara.

Pesawat itu juga berperanan sebagai air ambulance bagi membawa bekalan perubatan serta pesakit yang memerlukan rawatan bersama pasukan perubatan.

Juruterbang A400M, Mejar Syahmi Nazri dari 8 Skuadron berkata, TUDM menggunakan pesawat pengangkut tersebut sebagai Air Ambulance Untuk Medical Evacuation (Medevac).

“Mengikut konfigurasi ini, (semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023) kami boleh membawa 18 pesakit dan pasukan perubatan.

“Pesawat ini boleh membawa maksimum 66 pesakit ke hospital,” katanya ketika ditemui di Langkawi baru-baru ini.

Mejar Syahmi menjelaskan, pesawat tersebut pernah membawa pesakit dan sampel Covid-19 dari Kota Kinabalu, Sabah ke Subang, Selangor pada awal 2021.

“Pada masa itu kita berdepan cabaran cuaca buruk dengan bekalan minyak negatif 500 kilometer, namun kita berjaya mendarat di Subang dengan selamat,” ujarnya.

A400M memainkan peranan penting terutama bagi bantuan penghantaran udara semasa pandemik Covid-19 ketika pesawat penerbangan komersial tidak beroperasi.

Pesawat berkenaan juga pernah ditugaskan melakukan penerbangan membawa keperluan perubatan dan kesihatan ke Sabah dan Sarawak semasa pandemik itu.

“Kami anggota yang terlatih untuk melakukan segala misi yang ditugaskan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Pada tahun lalu, TUDM mencatat sejarah selaku pengendali pesawat A400M yang pertama merekodkan lebih 10,000 jam penerbangan di seluruh dunia pada tahun 2021.

Pencapaian itu diraikan oleh Airbus ketika berlangsungnya Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (Defence Services Asia) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Ketua Asia-Pasifik Airbus Defence and Space, Johan Pelissier menyampaikan anugerah kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan sebagai tanda penghargaan atas pencapaian penuh bersejarah itu.

Untuk rekod, TUDM merupakan pengendali pesawat A400M yang pertama di rantau Asia Pasifik. 

Sejak beroperasi dengan TUDM dari tahun 2015, pesawat A400M berupaya mengubah corak operasi pesawat pengangkutan udara dengan memainkan peranan penting dalam pelbagai misi. 

Ia termasuk pengangkutan kargo dan penumpang, misi kemanusiaan dalam bantuan bencana, pengangkutan bagi muatan berat serta menyokong strategi kebangsaan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, pengangkutan alatan perubatan serta operasi pengisian minyak di udara..

Keupayaan mencapai rekod jam serta kitaran penerbangan yang jauh lebih tinggi berbanding pengendali pesawat A400M yang lain, menjadikan TUDM diiktiraf selaku peneraju fleet global bagi pesawat A400M.

Ia bertindak sebagai sumber rujukan berharga bagi kesemua pelanggan.  -KOSMO!ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI