fbpx

Sabah bekal ikan kepada Negeri Sembilan, Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faiz (duduk empat kiri) bersama kepimpinan tertinggi Penegor dan PNK Selangor pada mesyuarat tersebut.

KLANG – Bekalan ikan bagi Negeri Sembilan dan Melaka akan ‘diimport’ dari Sabah bagi memenuhi pasaran di dua negeri tersebut.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini didapati kedua-dua negeri tersebut hanya mampu mendaratkan ikan kurang dari 5,000 tan metrik setiap bulan.

“Ini berbanding pendaratan ikan di Sabah antara 9,000 hingga 10,000 tan metrik bagi tempoh sama.

“Walaupun bekalan ikan diberikan kepada Negeri Sembilan dan Melaka, saya yakin bekalan ikan di Sabah masih mencukupi untuk kegunaan penduduknya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Selangor (Penegor) ke-38 di Hotel Crystal Crown di sini, hari ini.

Justeru itu, beliau akan berbincang dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan beberapa pemain industri lain bagi membawa sejumlah ikan dari Sabah ke Negeri Sembilan dan Melaka.

Muhammad Faiz turut menjelaskan keadaan di dua negeri tersebut tidak menimbulkan berlakunya krisis bekalan ikan di negara ini.

“Bekalan ikan masih mencukupi di seluruh negara dan saya ambil contoh iaitu pendaratan ikan di Selangor antara 5,000 hingga 6,000 tan metrik sebulan seterusnya mencukupi di negeri itu, cumanya, saya minta nelayan di seluruh negara untuk cuba mempertingkatkan tangkapan ikan supaya bekalan protein itu bertambah banyak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan LKIM Selangor sebelum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan pembinaan dan pembaikan jeti baharu dan lama di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI