fbpx

Majuperak bangunkan projek Rumah Perakku dengan GDV RM132 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Agil (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Mohd. Hamka (dua dari kanan) selepas memeterai pembiayaan pembinaan antara MHB dan Bank Rakyat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, Perak hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Majuperak Holdings Berhad (MHB) akan membangunkan projek Rumah Perakku di tanah seluas 46.38 hektar di Mukim Sungai Terap dekat Batu Gajah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM132 juta.

Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, projek perumahan itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan pembangunan fasa satu dan fasa dua dijalankan serentak dan dijangka bermula pada September depan.

Katanya, melalui projek itu, sebanyak 601 unit rumah mampu milik akan dibangunkan membabitkan Rumah Perakku 1, Rumah Perakku 2 dan Rumah Perakku 3 yang mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air.

“Anggaran harga jualan bagi projek perumahan ini antara RM90,000 hingga RM300,000 mengikut tiga kategori iaitu Rumah Perakku 1, Rumah Perakku 2 dan Rumah Perakku 3.

“Projek ini dijangka siap pada September 2025,” katanya ketika berucap pada sesi menandatangi pembiayaan pembinaan antara MHB dan Bank Rakyat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Sesi itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim dan Naib Presiden Kanan Bahagian Korporat dan Komersil Bank Rakyat, Mohd. Hamka Abd. Rani dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng dan Redza Rafiq.

Redza Rafiq yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berkata, pembangunan hartanah dan infrastruktur merupakan segmen perniagaan teras bagi MHB.

Menurutnya, sebagai pemain industri bagi sektor perumahan, sebanyak 14 projek perumahan telah dibangunkan dengan jumlah GDV mencecah RM1.09 bilion.

Katanya, antara lokasi-lokasi projek yang berjaya disiapkan termasuk projek di Mukim Hulu Kinta, Mukim Sungai Terap dan Mukim Changkat Jong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI