fbpx

Mahkamah: Wan Saiful kemuka notis permohonan batal pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful ketika hadir di mahkamah sebelum ini

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memfailkan permohonan untuk membatalkan dua pertuduhan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang dihadapinya.

Wan Saiful selaku pemohon memfailkan notis permohonan di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company pada 29 Mei lalu.

Menerusi afidavit sokongan Wan Saiful mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah defektif dan cacat.

Mengikut pertuduhan, Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini, Hakim Rozina Ayob menetapkan 27 Jun bagi pendengaran permohonan itu.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali manakala Wan Saiful diwakili peguam
Amer Hamzah Arshad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI