fbpx

Mahkamah: Lima pertuduhan rasuah Adam Radlan dibicara bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua pertuduhan rasuah terhadap ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama tiga pertuduhan lain.

Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadapi sejumlah lima pertuduhan rasuah iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.

Di ibu negara, Hakim Azura Alwi hari ini membenarkan pertuduhan menerima rasuah RM2 juta yang dipindahkan dari Shah Alam, dibicara di hadapan beliau bersama pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali pula, pihak pendakwaan turut memohon pertuduhan menerima rasuah RM2.1 juta dari Shah Alam, dipindahkan ke sini untuk dibicarakan bersama dua pertuduhan lain.

Dua pertuduhan itu ialah menerima rasuah RM500,000 dan meminta iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 14 Julai ini bagi sebutan untuk penyerahan baki dokumen.

Pada tarikh sebutan itu, pihak pendakwaan akan memohon ketiga-tiga kes dibicarakan secara bersama.

Bagi kedua-dua prosiding, pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali dan Natrah Fareha Rahmat manakala peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Adam Radlan.

Ketika kes disebut di hadapan Azura, Siti Amirah memaklumkan, pihak pendakwaan sudah menyerahkan sebahagian dokumen perbicaraan kepada pihak pembelaan dan akan menyerahkan baki dokumen pada tarikh sebutan kes.

Natrah Fareha turut memberitahu Siti Aminah, pihak pendakwaan sudah memfailkan tiga jilid dokumen yang juga melibatkan dokumen daripada pihak bank.

Pada 21 Februari lalu, Adam Radlan, 42, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pertama meminta rasuah wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus nilai projek berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa.

Dia didakwa meminta rasuah di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021 manakala tuduhan menerima rasuah dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.

Pada 22 Februari pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. didakwa menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Mat Jusoh.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 dan 5 Januari lalu.

Pada 28 Februari pula, Adam Radlan sekali lagi didakwa atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta daripada individu bernama Lian Tan Chua.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Adam Radlan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI