fbpx

Dugaan ibu kudung kaki, dua anak sakit buah pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZARINA yang kehilangan dua kaki akibat penyakit kencing manis buntu memikirkan nasibnya bersama tiga anak yang sakit ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Sungai Isap Perdana, Kuantan.

KUANTAN – Dugaan berganda buat seorang wanita, apabila bukan sahaja kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat kencing manis, malah turut diuji apabila dua daripada tiga anaknya menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Lebih menyedihkan, apabila anak sulungnya, yang merupakan satu-satunya harapan keluarga terpaksa berhenti kerja ke­rana tidak dapat berjalan selepas mengalami masalah selulitis di bahagian kaki.

Zarina Mohd. Ali, 59, berkata, dia kini hanya bergantung kepada duit pencen arwah suaminya sebanyak RM1,250 sebulan.

Katanya, sejak anak lelakinya, Mohd. Amir Haziq Mohd. Shamsuri, 30, tidak dapat bekerja kehidupan mereka sekeluarga menjadi bertambah sukar.

“Sebelum ini, gaji dia dapat menampung bayaran bil dan pinjaman kereta. Tetapi kini segala perbelanjaan rumah bergantung sepenuhnya kepada duit pencen arwah suami,” katanya.

Tambahnya, wang pencen itu juga digunakan untuk kos rawatan dan pengangkutan dua anaknya, Khairun Nabilah, 29, dan Khairun Nisha, 22, yang menderita penyakit buah pinggang.

Katanya, Khairun Nabilah akan menjalani dialisis tiga kali seminggu dan dia menerima bantuan zakat RM500 sebulan.

“Nisha pula memerlukan RM100 sebulan untuk ubatan dan rawatan cuci air yang dilakukannya sendiri di rumah.

“Sekarang Nisha berada di ICU (unit rawatan rapi) HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) selepas pengsan minggu lalu, Mohd. Amir juga di sana,” katanya.

Menurut Zarina, Nabilah dan Nisha disahkan menghidap sakit buah pinggang ketika berusia 18 dan 20 tahun.

“Selama enam tahun arwah suami meninggal dunia, inilah detik saya betul-betul buntu memikirkan nasib kami sekeluarga.

“Terfikir untuk ‘tolak’ sahaja kereta dibeli arwah suami supaya tidak lagi menanggung beban hutang RM500 sebulan, tetapi itu sahaja kenderaan yang kami ada,” ujarnya yang tidak menerima sebarang bantuan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Zarina dan keluarga, boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (Zarina Mohd Ali) iaitu 0610029000557768. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI