fbpx

Bekalan gula di Kedah pulih 1 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Bekalan gula di Kedah yang terjejas sejak beberapa minggu lalu dijangka kembali pulih bermula 1 Jun depan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, masalah yang timbul sebelum ini berpunca daripada kerosakan dialami satu-satunya kilang gula di Kedah sejak 16 April 2023.

Katanya, kerosakan itu berjaya diperbaiki sepenuhnya pada 17 Mei lalu namun kilang tersebut didakwa memerlukan masa untuk kembali mengeluarkan gula pada kadar sepatutnya, seperti sebelum masalah itu timbul.

“Akibat kerosakan yang berlaku, penghasilan gula oleh kilang tersebut berkurangan daripada 400 metrik tan sehari kepada cuma 250 metrik tan sehari.

“Keadaan itu menjadi punca kepada kekurangan bekalan gula di negeri ini. Bagaimanapun, kita sudah mendapat aku janji daripada pengilang yang mereka akan berusaha untuk kembali mencapai tahap pengeluaran 400 metrik tan sehari seperti sebelum ini menjelang 1 Jun depan.

“Maka kita berharap isu ini akan ditutup ‘bukunya’ pada tarikh tersebut. Insya Allah, bekalan gula akan kembali kepada asal bermula 1 Jun depan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan bersama pihak pengilang selain 14 daripada 20 pemborong gula di Kedah pejabat tersebut, hari ini.

Affendi menambah, dalam pertemuan itu pihaknya turut menegaskan agar tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan mengenakan syarat tertentu kepada pengguna mahu pun peruncit bagi mendapatkan gula.

“Kalau peruncit atau pemborong buat catuan kerana nak pastikan pembeli dapat gula selain mengelakkan pembelian panik, itu tak mengapa dan kami takkan halang.

“Tetapi kalau letak syarat agar pembeli perlu membeli gula premium terlebih dulu sebelum dibenarkan membeli gula kasar, itu memang tak boleh dan dilarang di bawah akta kawalan bekalan. Kami takkan benarkan dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” katanya.

Ditanya dakwaan pihak tertentu kononnya kekurangan gula di Kedah disebabkan tindakan peniaga menyorokkan gula berikutan terdapat ura-ura mengenai kenaikan harga bahan itu, Affendi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi atau mengesan mana-mana peniaga yang berbuat demikian sebelum ini.

“Sebenarnya tak ada isu pun kerana sehingga kini tidak ada arahan mahu pun keputusan untuk menaikkan harga gula kasar bisa. Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah kekeliruan akibat daripada kewujudan gula premium yang lebih mahal harganya.

“Jadi isu berkaitan peningkatan harga gula ini sebenarnya tak timbul. Hakikatnya, masalah gula di Kedah ini berpunca daripada kerosakan yang berlaku di kilang gula tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI