fbpx

Pesara hilang simpanan lebih RM800,000 ditipu ‘pegawai polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Seorang wanita warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM845,450 lesap ditipu ‘pegawai polis’ menerusi beberapa transaksi wang dalam tempoh 10 hari sehingga minggu lalu.

Pesara berusia 74 tahun itu melakukan deposit menerusi mesin deposit wang (CDM) ke dalam 14 akaun bank atas pelbagai nama pemilik mulai 10 hingga 19 Mei lalu, selepas diperdaya oleh kumpulan sindiket penipuan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam laporan polisnya semalam, mangsa ketika berada di rumahnya di sini, pada mulanya menerima panggilan telefon seorang individu mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 9 Mei.

“Mangsa didakwa mempunyai tunggakan cukai syarikat didaftarkan atas namanya di Melaka. Talian kemudian disambung kepada dua ‘pegawai polis’ konon dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan mangsa dikatakan ada rekod kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

“Seorang suspek bergelar ‘Datuk’ kemudian mengarahkan wanita malang itu melaporkan maklumat akaun bank serta pergerakannya dari masa ke semasa dan atas arahan suspek, mangsa melakukan kemasukan wang menerusi beberapa transaksi menggunakan CDM sehingga berjumlah RM845,450 kononnya untuk tujuan semakan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata,  mangsa juga diberi tempoh selama sebulan untuk menjual rumahnya juga kononnya untuk semakan sambil diberi amaran agar tidak memaklumkan perkara itu kepada mana-mana pihak ketiga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI