fbpx

Golongan muda tidak peduli larangan merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUAT KUASA mengeluarkan surat saman kepada seorang pelanggan kedai makan selepas didapati merokok di dalam premis itu dalam Operasi Khas PPKHT di Bukit Beruang, Melaka. - Toto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Degil! Itu gambaran tepat kepada segelintir pelanggan terutama golongan muda yang masih merokok di kawasan premis makanan meskipun tanda larangan sudah dipamerkan di dalam premis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, golongan muda dilihat paling ramai ditahan kerana menghisap rokok di meja makan dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Peraturan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang dijalankan di sekitar Melaka Tengah, malam tadi.

Menurutnya, sebanyak 150 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM41,250 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 80 premis makanan telah diperiksa dalam operasi selama dua hari bermula semalam membabitkan 45 anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan negeri, Unit Inspektorat serta perundangan negeri.

Jelasnya, premis yang diperiksa membabitkan 49 restoran, 23 kedai makan, tujuh gerai dan sebuah premis menjual vape.

“Masih terdapat ramai pengunjung di premis makanan terutama golongan muda masih berdegil dan tidak mempedulikan tanda larangan menghisap rokok di kawasan yang telah diwartakan.

“Begitu juga sebanyak sembilan pemilik premis turut diberi amaran dan notis kerana ketiadaan tanda larangan merokok di premis mereka.

“Justeru, operasi berterusan akan terus dilaksanakan di masa depan dalam memastikan orang ramai mematuhi mengenai larangan merokok di tempat awam,” ujarnya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Khas Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di sekitar Bukit Beruang di sini malam tadi.

Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, operasi tersebut digerakan selepas pihaknya menerima sebanyak 107 aduan berhubung ketidakpatuhan orang ramai terhadap larangan merokok di kawasan yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, sepanjang tempoh penguatkuasaan dari Januari hingga April tahun ini sebanyak 886 notis kesalahan telah dikeluarkan.

Menurutnya, sebanyak 845 notis telah dikeluarkan atas kesalahan merokok di kawasan larangan termasuk larangan merokok bagi orang belum Dewasa (OBD).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 207 notis dikeluarkan atas kesalahan merokok di tempat makan membabitkan kompauan bernilai RM204,100,” ujarnya.

Katanya, sepanjang tahun 2022 sebanyak 3,794 notis kesalahan telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 3,621 notis kesalahan dikeluarkan atas kesalahan merokok di kawasan larangan (termasuk di Zon MBAR) dengan 1,054 di premis makanan membabitkan kompaun bernilai RM889,800.00. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI