fbpx

‘Terima kasih jadi suami hebat’ – isteri Pengarah APM Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Hafizah bersama suami, Allahyarham Awang Askandar. - Foto Facebook Siti Hafizah

PETALING JAYA – “Alhamdulillah terima kasih sudah jadi suami yang sangat hebat selama 13 tahun,” demikian luahan hati Siti Hafizah Abdul Hamid.

Wanita tersebut merupakan isteri Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia sewaktu dalam misi menawan Everest, Jumaat lalu.

Menerusi hantaran pada Facebook, ibu enam anak berasal dari Ranau, Sabah itu berbangga dan memuji suaminya sepanjang berkongsi hidup bersama serta menjalani kehidupan berumah tangga.

“Saya sangat berbangga dengan awak ‘sawoku’ (suamiku dalam bahasa Kadazan). Saya tahu abang sudah cuba yang terbaik, saya tahu abang mahu pulang ke pangkuan kami dalam keadaan bernyawa.

“Hari-hari abang cuba ‘contact’ kami ,tak pernah lupa ucap ‘i love you’ dan ‘miss you’ setiap kali ‘video call’. Setiap masa mahu tengok anak-anak.

“Sesungguhnya terasa sangat sakit untuk terima abang sudah tiada. Tapi Allah lebih sayang abang. Bi (panggilan diri Siti Hafizah) tahu Bi perlu reda,” katanya hari ini.

Menyambung coretannya, Siti Hafizah berkata, dia akan terus kuat demi membesarkan enam anak mereka.

“Abang suami yang sangat baik (‘caring, loving’) selalu dahulukan pendapat isteri, selalu cuba tunaikan semua permintaan isteri dan anak-anak walaupun sibuk bekerja. Tidak pernah sehari pun abang abaikan kami.

“Kalau ‘outstation’ selalu bawa Bi dan anak-anak. Sibuk bekerja, tapi abang akan selalu curi masa untuk bersama kami. Abang memang seorang bapa yang sangat-sangat sayangkan semua anak,” ujarnya.

Wanita itu juga menceritakan, Allahyarham Awang Askandar sering berpesan kepada anak-anak, membantu isterinya selain menjadi pendengar setia yang baik.

“Setiap petang lepas balik dari kerja mesti dia wajibkan anak-anak keluar bermain di luar rumah. Arwah tak mahu anak-anak tertekan terkurung di rumah tiada aktiviti fizikal.

“Abang selalu berterima kasih sebab Bi sudi jadi suri rumah jaga anak-anak, sentiasa buat saya rasa dihargai. Bila ada sesiapa tanya isteri kerja mana, abang selalu jawab dengan bangga, isteri kerja suri rumah.

“Tapi kerja suri rumah sangat susah, dialah yang boleh atur anak-anak dan rumah, jadi pembantu peribadi (PA), kerjaya yang sangat hebat,” katanya.

Mengakhiri luahan hatinya, Siti Hafizah sekali lagi berterima kasih kepada suaminya yang melayannya seperti seorang ratu.

“Ramai yang sayang abang, ramai yang mahu hulurkan sumbangan dan bantuan. Saya sangat-sangat bangga jadi isteri abang, al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Awang Askandar dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023).

Arwah dikatakan terjatuh ketika berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya 20 minit pendakian memisahkan arwah dengan puncak Everest. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI