fbpx

Selepas adik kembar ‘pergi’, kakak pula maut di rumah pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bayi berusia tiga bulan itu maut di tangan pengasuh di sebuah kediaman, di Petaling Jaya, 9 Mei lalu.

PETALING JAYA – Baru sahaja adik kembarnya dijemput Ilahi tiga bulan lalu, kakaknya pula maut di rumah seorang pengasuh dalam satu kejadian di sebuah kediaman di sini, dua minggu lalu.

Dalam satu hantaran di Facebook, bapa kepada bayi perempuan berusia tiga bulan berkenaan dikenali, Abdur Rahman Abdullah berkata, kehilangan anaknya itu sangat menyakitkan lebih lagi buat isterinya.

Menurutnya, dia dan isteri mencari pengasuh kira-kira tiga bulan lalu sebelum berjumpa dan melihat kawasan sekeliling di kediaman wanita terbabit.

“Selepas lima hari (tidak termasuk tiga hari percubaan) saya menghantar bayi ke rumah pengasuh. Pada 9 Mei, anak saya meninggal dunia di rumah pengasuh itu.

“Anak kami kembar. Adiknya meninggal dunia sembilan hari selepas dilahirkan di sebuah hospital di Kelantan disebabkan pendarahan otak. Untuk kes pengasuh ini, kami telah pun membuat laporan polis dan kes dalam siasatan.

“Semoga Allah menegakkan keadilan demi anak kesayangan kami. Kami berharap perkara seperti ini tidak akan terjadi kepada orang lain,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes berkenaan kira-kira pukul 3.56 petang, 9 Mei lalu.

“Bertindak atas maklumat, seorang wanita warga tempatan berusia 31 tahun yang merupakan pengasuh kepada bayi berkenaan ditahan polis di sebuah kediaman pada 13 Mei, kira-kira pukul 5.30 petang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap bayi tersebut sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa, boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Polis Petaling Jaya di talian 03-79662222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI