fbpx

Bukan suami saja curang, wanita juga pilih pucuk muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MARLIA ZAKARIA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Mutakhir ini, kita banyak didedahkan berita tentang pence­­rai­an pasangan suami isteri. Lambakan kisah seumpama itu bagaikan cerita ‘wajib’ di media sosial.

Namun, yang terkesan di hati penulis apabila perpisahan ba­nyak melibatkan pasangan lanjut usia seperti yang dilaporkan ­Kosmo!, baru-baru ini.

Menerusi laporan tersebut, semakin ramai isteri meninggalkan suami dengan menuntut cerai di usia senja berikutan tidak lagi mampu bertahan apabila pasa­ngan (suami) berlaku curang dan culas memberi nafkah, selain menyatakan mereka tidak lagi sehaluan.

Apabila melibatkan kes sebegini, kaum lelaki sering menjadi fokus atau sasaran umum sehingga wujudnya stereotaip negatif terhadap golongan ini apabila membabitkan isu curang.

Peguam Syarie, Nur Amalina Adam, berkata, ada juga kes menyumbang kepada berlakunya perceraian pada usia senja melibatkan wanita yang memilih lelaki muda sebagai pilihan.

Katanya, ia disebabkan lelaki muda lebih menarik dari segi paras rupa, aktif serta jarang mempunyai masalah kesihatan.

“Memilih pasangan lebih muda atas faktor personaliti yang tidak ada pada diri suami dan masalah seksualiti dalam rumah tangga seperti suami lemah tenaga batin atau kefahaman seks sudah berkurangan.

“Sebaliknya, faktor lain menjadi pendorong cerai iaitu apabila suami tidak lagi romantik, enggan menunjukkan rasa cinta dan kurang beri perhatian membuatkan isteri rasa kesunyian sehingga merenggangkan hubungan,” katanya.

Walaubagaimanapun, Nur Amalina berkata, tidak semua kes kecurangan isteri berpunca daripada kekurangan atau ­kesalahan daripada pihak suami.

“Isteri yang berusia akan me­rasa muda kembali apabila menjalinkan hubungan dengan lelaki yang usianya jauh lebih muda di bawahnya.

“Bukanlah setiap masa isteri curang berpunca daripada pihak suami, adakalanya curang adalah pilihan isteri itu sendiri kerana ingin menikmati kehidupan baru dengan orang baharu,” jelasnya.

Menurutnya, kes-kes sedemikian biasanya melibatkan individu yang cuai mendalami ilmu agama yang cenderung untuk tidak menjalankan tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Terputusnya didikan agama dalam kalangan pasangan menyebabkan mereka enggan memahami tanggungjawab sebenar yang patut dan wajib mereka penuhi sebagai suami isteri.

“Perceraian usia senja ini juga menyebabkan ada suami atau isteri datang mengadu kepada saya dan menyifatkan ia cabaran berat untuk berhadapan dengan masyarakat terutamanya ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Kebiasaannya wanita yang terkesan dari sudut emosi. Mungkin tidak lagi boleh bertahan hingga akhirnya perceraian menjadi satu-satunya jalan keluar daripada masalah tersebut.

“Selagi ada ruang untuk berbincang, pergilah mencari nasihat yang baik dan dapatkan bantuan perkhidmatan runding cara kerana amat digalakkan untuk pulihkan kembali hubungan suami isteri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI