TEPAT pukul 10 pagi, seperti dijanjikan, wanita berketinggian 1.65 meter itu sampai pada waktunya.
Anggun mengenakan pakaian ala singlet berona putih, bekas ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi sempat melemparkan senyuman sebagai tanda salam perkenalan.
Meskipun sibuk dengan kerjaya dan cinta baharunya sebagai juri dalam pertandingan gimnastik di ibu negara, pujian harus diberikan kepada gadis kacukan Melayu-Kanada ini kerana tetap menunaikan janji biarpun pertemuan tertunda beberapa kali sebelum ini.
Saat wajahnya mula ditata rias jurumekap artis berpengalaman dan disayangi ramai selebriti, El Manda Zuhairy pagi Isnin lalu, penulis menyapa khabar dan bertanyakan perkembangan terkini gadis berusia 29 tahun itu.
“Alhamdulillah saya sihat walafiat. Walaupun dah bersara daripada dunia gimnas, saya ada kerja dan buat beberapa perkara lain juga sekarang.
“Kalau yang terkini, saya menjadi salah seorang juri bagi pertandingan gimnastik dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.
“Ya, saya telah temui cinta baharu saya. Kalau sebelum ini hanya jadi peserta dan berlatih, sekarang saya beralih pula kepada seorang juri.
“Boleh dikatakan setiap hujung minggu dan ada hari-hari tertentu saya akan berada di sana atau mana-mana lokasi lain untuk tugas penjurian,” ujarnya membuka aksara kata bersama Aura.
Menyorot kembali kembara sukannya selama lebih 25 tahun, Farah Ann telah membabitkan diri dalam acara gimnastik sejak berusia tiga tahun lagi.

Katanya, kedua-dua ibu dan bapanya juga merupakan ‘orang sukan’ dan terlibat secara langsung dalam arena tersebut termasuklah dua adik- beradiknya yang lain.
“Kalau nak ingat kembali, waktu saya berumur tiga tahun, memang saya dah dilatih untuk acara sukan gimnastik.
“Sejak dari itu saya mula menyertai pertandingan peringkat kebangsaan iaitu Sukan Malaysia (Sukma).
“Kemudian, saya dimasukkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan dari situlah saya mendapat pendedahan selanjutnya.
“Perkara yang paling saya tidak boleh lupa sepanjang penglibatan saya sebagai atlet adalah ketika saya membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India,” katanya.
Jelas anak jati kelahiran Subang Jaya, Selangor itu, walaupun pada ketika itu Malaysia sekadar menduduki tempat keempat dalam acara gimnastik berpasukan, itu tetap menjadi kebanggaan dan sejarah buat dirinya serta negara.
Sepanjang lebih dua dekad bergelar atlet, banyak suka duka pernah dilalui Farah Ann.
“Bila bercakap soal persaraan yang baru saya lakukan awal tahun lalu, itu sebenarnya antara momen paling berat dan sukar pernah saya lalui.
“Jujur bukan kerana faktor usia ataupun kecederaan fizikal saya alami yang menjadi punca kepada keputusan muktamad yang diambil.
“Apa yang boleh saya katakan sudah tiba masanya untuk saya akhiri dan noktahkan kerjaya sebagai atlet gimnastik.
“Cuma satu perlu diingat dengan jelas, ya saya memang bersara, tetapi bukan bermaksud saya tinggalkan sukan itu secara nyata,” tuturnya panjang lebar.
Mengakui rindu untuk kembali beraksi dan menjalani latihan seperti sebelumnya, wanita berzodiak Taurus ini perlu akur dengan keputusan muktamad yang telah diambil.
Ujarnya, lagipun sasarannya untuk berjaya menempah tiket pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu terlaksana dan menjadi indikasi kepada dirinya sebagai atlet sebelum bersara.
Menerusi Sukan Olimpik Tokyo 2020, Farah Ann berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-65 daripada 85 peserta yang bertanding di pentas berprestij itu.

Ditebak mengenai adakah dirinya mendapat tawaran untuk menjadi jurulatih dalam sukan sama, Farah Ann mengakui perkara tersebut, namun menolak secara baik.
“Ada sebenarnya pelawaan dan tawaran daripada beberapa pihak untuk saya jadi jurulatih gimnastik.
“Tetapi buat masa ini, saya memang mahu fokus sebagai juri terlebih dahulu.Insya-Allah jika sudah tiba masa yang sesuai nanti, saya akan pertimbang.
“Selain jadi juri, saya juga terlibat secara langsung dengan penggambaran bersama kru produksi dalam menjayakan beberapa kempen dan iklan bersama label tertentu,” katanya.
Ditanya bagaimana sudut pandangannya mengenai sukan gimnastik selepas ketiadaannya, Farah Ann menyifatkan semuanya berjalan baik sahaja.
Katanya, dia berbangga dengan atlet-atlet gimnas muda negara yang tidak pernah putus asa dalam menjalani latihan saban hari.
“Inilah semangat yang kita mahukan. Tiada saya bukan bermaksud sukan gimnas akan hilang bisa atau kekuatan.
“Negara mempunyai ramai pelapis gimnas yang berbakat dan mampu mengharumkan nama negara kelak,” katanya.
Dikenali bukan sahaja dengan pencapaiannya, bahkan juga kecantikan rupa parasnya, gadis dengan berat tidak sampai 60 kilogram itu turut berkongsi tip penjagaan kesihatan, kecantikan dan kekal aktif meskipun sibuk dengan tuntutan harian.
Katanya, mengawal pemakanan dengan hanya mengambil makanan berserat tinggi serta menjauhkan makanan atau minuman manis adalah antara petua yang diamalkan selama ini.
“Makan minum kena jaga. Tipulah kalau saya kata tak suka dan craving (teringin) minum manis atau makan makanan bergoreng.
“Tapi kena kawal pengambilannya. Ambil air suam. Lakukan senaman ringan seperti berbasikal, berjoging dan berlari juga antara yang saya suka lakukan bagi menjaga kesihatan sekali gus kecantikan luaran dan dalaman,” katanya.














