fbpx

FAMA sasar 900 lokasi Jualan Agro Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung gembira mendapatkan harumanis pada harga istimewa pada Jualan Agro Madani di pekarangan Ibu Pejabat FAMA di Selayang, Selangor hari ini.

KANGAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan 900 lokasi Jualan Agro Madani di seluruh negara dengan nilai jualan RM13.5 juta pada tahun ini.

FAMA dalam satu kenyataan berkata, jualan membabitkan 9,000 usahawan itu adalah inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui FAMA.

“Ia dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan fokus untuk memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, komoditi jualan juga diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.

“Antara fokus lokasi adalah di kompleks dan pejabat kerajaan, outlet peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan Jualan Agro Madani dilihat sebagai salah satu program ‘quick win’ KPKM dalam membantu para pengeluar memasarkan produk secara terus kepada pengguna.

“Ia secara langsung dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam komponen makanan melalui harga penjimatan yang ditawarkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli melancarkan Perlis Day @ Jualan Agro Madani di pekarangan Ibu Pejabat FAMA di Selayang, Selangor hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI