SEREMBAN – Pertubuhan Akademi Al Bayan berkeyakinan program Saudagar Mualaf Al Bayan yang dibangunkan kini telah berjaya melatih usahawan mualaf dalam pelbagai bidang perniagaan yang mereka minati sekali gus mampu menambah pendapatan bulanan masing-masing.
Pengerusinya, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, buat masa ini, terdapat 50 usahawan mualaf di bawah bimbingan program tersebut dan jumlah itu bakal bertambah kepada 250 orang menjelang akhir tahun ini.
“Pemilihan usahawan akan dibuat dari masa ke semasa untuk memastikan mereka membangunkan perniagaan yang berdaya saing melalui sebuah jawatankuasa yang dilantik dalam program berkenaan.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka hari raya Pertubuhan Akademi Al Bayan (Al Bayan), Al Bayan Global Sdn. Bhd. dan HD Group Sdn. Bhd. di Dewan Masjid Bandar Baru Enstek dekat sini baru-baru ini.

Kira-kira 250 mualaf meliputi bangsa India, Cina, Kadazan, dayak dan warga antarabangsa hadir pada majlis tersebut.
Pada majlis tersebut, Al Bayan turut melancarkan produk makanan terbaharunya, Sambal Bilis TERIaak yang dilihat bakal menjana pendapatan untuk jangka masa panjang.
Enggan bersandar kepada infaq daripada orang ramai, perniagaan yang diusahakan Kumpulan dilihat dapat membantu membiayai dana bagi pembangunan Kompleks Pendidikan Islam Akademi Al Bayan di Pego, Melaka yang dijangka menelan kos sehingga RM25 juta.
Kompleks tersebut dibina bertujuan untuk menempatkan anak-anak mualaf mendapat pendidikan Islam yang bersepadu kerana kurangnya institusi untuk anak-anak tersebut. -KOSMO!ONLINE














