fbpx

UMNO berpuas hati komitmen kerajaan pertahan kalimah ‘Allah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsi Ahmad Zahid di Facebooknya hari ini.

PETALING JAYA – UMNO meluahkan kesyukuran dengan komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu penggunaan kalimah Allah, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Timbalan Perdana menteri, perkara tersebut telah dizahirkan Anwar ketika sewaktu pertemuan yang diadakan bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Pagi tadi, sebelum mesyuarat kabinet bermula, saya bersama Asyraf telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menzahirkan pandangan dan pendirian akar umbi UMNO terhadap isu kalimah Allah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan ketetapan dasar Kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkemaskan isu-isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan Kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembahkan cadangan-cadangan kepada Majlis Raja-Raja.

“Ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan akan terus terpelihara di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Jemaah Menteri selepas mesyuarat kabinet yang diadakan hari ini memaklumkan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, ia turut melibatkan cadangan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI