fbpx
FADLAN HAZIM

Ujian ‘kejantanan’ Fadlan Hazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA niat merahsiakan pertunangan dengan wanita Kazakhstan bernama Aiya Mukhamedsalova, pelakon Fadlan Hazim cuma tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Masakan tidak, Fadlan atau nama sebenarnya pernah beberapa kali berdepan dengan episod kegagalan percintaan, termasuk bersama wanita bernama Julie Anne Kang yang terkandas di tengah jalan sekitar 2021.

Dia masih sedar ruang diri sebagai seorang selebriti. Sebagai selebriti, apa sahaja yang dipertontonkan secara sengaja ataupun tidak, mudah menjadi sorotan orang ramai.

“Saya bertemu keluarga Aiya Oktober, tahun lalu dan kami sudah bertunang. Alhamdulillah, proses pertunangan berjalan lancar.

“Bukanlah bermaksud nak sorokkan pertunangan, cuma saya tidak mahu terlalu berkongsi.

“Takut tak jadi nanti saya yang kena jawab,” kata Fadlan atau mesra disapa sebagai Allan itu.

BERCINTA dan bakal menikahi wanita warga asing membuka minda Fadhlan untuk lebih menghormati budaya dan adat bangsa lain.

Ujian ‘kejantanan’

Menceritakan pengalaman berkunjung dan bertemu bakal mentua di Kazakhstan, Fadlan berkata, momen tersebut terlakar sebagai antara perkara baharu yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.

“Saya cuma nak ceritakan yang budaya dan adat orang Kazakhstan sangat berbeza dengan kita, namun itu tidak menjadi masalah untuk dua jiwa bersatu,” katanya kepada HibGlam usai pembukaan cawangan baharu Elitez MMA & kejohanan Elitez Fight Night 5, baru-baru ini.

Paling tidak boleh dilupakan pasti ujian ‘kejantanan’ yang dilalui sebelum mengikat tali pertunangan dengan cinta hatinya.

“Saya pun tak tahu kena lalui ujian tersebut. Tunang pun tidak beritahu tentang perkara itu. Cuma dia minta lakukan sahaja apa yang disuruh keluarga.

“Antara yang perlu saya lakukan adalah berjalan atas paku, menunggang dan minum susu kuda,” kata Fadlan.

Antara ujian yang terpaksa dilaluinya ketika bertemu bakal mentua adalah berjalan atas paku kecil, minum susu kuda dan ‘ditinggalkan’ sendirian di pergunungan salji yang berisiko diserang binatang buas.

Melanjutkan bicara, pelakon filem Sangkar itu menjelaskan, antara ujian yang dilakukannya memang tidak masuk akal, namun dia percaya bahawa setiap bangsa atau negara memiliki cara tersendiri.

“Saya juga dibawa mendaki gunung dalam keadaan suhu yang amat sejuk. Tak silap saya waktu itu 4 atau 5 Celsius. Bayangkan saya perlu mendaki gunung tanpa memakai baju tebal.

Dalam waktu tiga jam lebih, saya kena ‘sidai’ kesejukan seorang diri.

“Kemudian mereka cakap, mereka akan tinggalkan saya keseorangan dengan kebarangkalian akan bertemu dengan beruang buas.

“Ingatkan mereka bohong tapi jalan depan sikit ada papan tanda ‘bear’ atau beruang,” tuturnya.

Tambah pemilik nama lengkap, Fadlan Hazim Anuwar itu, orang Kazakhstan sememangnya sangat mementingkan kekuatan mental dan fizikal bakal pengantin sebelum meniti gerbang perkahwinan.

“Orang Kazakhstan memang tegas. Kalau ya, kata ya. Kalau tak, kata sahaja tak.

“Tunang saya siap cakap masa tunggang kuda dia tak nak tengok saya gagal ujian tersebut.

“Sebelum seseorang lelaki kahwin dengan anak dara orang, ibu bapa atau keluarga akan uji sama ada jati diri kuat atau tidak,” kata Fadlan.

Fadlan mengikat tali pertunangan dengan Aiya, seorang jurutera asal Kazakhstan yang kini menetap dan bekerja di Kuala Lumpur.

Buka, luaskan pemikiran

Rezeki mengenali budaya dan adat resam bangsa lain secara dekat mengingatkan Fadlan bahawa dunia memiliki variasi budaya dan adat resam yang masih diamalkan sehingga kini.

“Apa yang saya depani menyuntik kesedaran dalam jiwa bahawa kita tak hanya ‘tersepit’ dengan kehidupan kita sahaja.

“Ada bermacam orang dan budaya di luar sana. Tinggal lagi, bagaimana kita yang letak usaha mahu berkenalan dengan lifestyle orang lain,” tuturnya.

Ditanya tentang perancangan majlis pernikahan dengan Aiya, Fadhlan tertawa.

Dalam tawanya, terbit keseriusan dan kesungguhan untuk menjadikan Aiya sebagai pasangan yang sah.

“Belum ada tarikh yang pasti lagi. Sekarang ini tengah menguruskan dokumen sebab berkahwin dengan bukan warganegara.

“Bagi saya sudah sampai masa untuk berkahwin. Ramai kawan sudah beristeri dan usia saya pun semakin meningkat,” ujarnya menggulung perbualan.

Sedar akan peranan sebagai seorang selebriti, Fadlan percaya apa sahaja yang dipertontonkan, orang tidak akan berhenti bercakap.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN