fbpx
Orang ramai bimbang terhadap pengumuman kenaikan baharu OPR pada suku ketiga dan keempat tahun ini. -–Gambar hiasan

Pasaran hartanah boleh serap kenaikan OPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengejutkan ramai pihak khususnya mereka yang memiliki komitmen bulanan seperti pinjaman sewa beli kenderaan, peribadi dan perumahan.

Setiap kali kenaikan kadar tersebut, maka mereka yang membuat pinjaman pada kadar berubah pastinya akan menanggung kos pinjaman yang bertambah sekali gus kesannya menjejaskan bajet bulanan individu dan sesebuah keluarga itu.

Sektor perumahan sering menjadi bualan ramai bila berlakunya kenaikan OPR apabila melihat kesan secara keseluruhan termasuk juga dari segi kos pembinaan dan juga harga rumah.

Mengulas mengenai kenaikan tersebut, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Juwai IQI, Kashid Ansari berkata, meskipun peningkatan kadar tersebut boleh memberi kesan kepada pembelian dan pembangunan projek perumahan tetapi pasaran dilihat dapat menyerap kenaikan tersebut.

“Kami berkeyakinan bahawa pasaran hartanah akan terus berkembang dengan permintaan yang terus bertumbuh.

“Indikator pasaran perumahan terus menunjukkan trend positif sejak tiga suku yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai isu kenaikan OPR terhadap sektor hartanah di sini baru-baru ini.

Kosmo!: Apa pendapat anda tentang kenaikan OPR dalam keadaan ekonomi semasa?

Ansari: Keperluan untuk menaikkan kadar tersebut me­nunjukkan bahawa fundamental ekonomi negara pada tahun ini adalah kukuh. Bank mengunjurkan pengembangan ekonomi ekoran perkembangan permintaan domestik, peningkatan jumlah pekerjaan, pertambahan kemasukan pelancong dan perbelanjaan dalam projek infrastruktur.

Adalah lebih baik untuk mengecapi ekonomi yang kukuh dan perlunya kadar faedah dinaikkan bagi mengelakkan ia daripada overheating da­ripada memiliki ekonomi yang pesat sehingga memerlukan polisi untuk merangsangkannya. Kadar kenaikan sebanyak 25 mata asas adalah lebih rendah daripada tiga peratus OPR pada tahun 2019.

Bagaimana kenaikan tersebut memberi kesan kepada sektor hartanah?
Kenaikan kadar faedah membolehkan pembelian dan kos untuk membangunkan kediaman makin bertambah tetapi kami percaya pasaran hartanah mampu menyerap peningkatan tersebut.

Untuk pembeli, kos perbelanjaan yang tinggi dalam gadai janji mampu diimbangi oleh keadaan kewangan yang lebih baik bagi kebanyakan isi rumah.

Bagaimana pula ia memberi kesan kepada pembeli?

Bagaimana ia memberi kesan kepada tipikal pembeli kediaman, hanya akan bergantung kepada keadaan mereka. Kenaikan 25 mata asas OPR akan turut menambah kadar faedah dalam tipikal gadai janji iaitu lebih kurang 0.25 peratus.

Bagi pemilik kediaman dengan memiliki gadai janji bernilai RM500,000 pada 3.5 peratus dengan tempoh baki pinjaman selama 25 tahun, maka kenaikan 0.25 peratus dalam kadar faedah menyebabkan jumlah pembayaran bulanannya bertambah sebanyak RM124 sebulan.

Apa pula kesan kenaikan OPR kepada pemaju?
Ia akan mendorong kepada kenaikan kos pinjaman bagi pemaju hartanah. Kita akan melihat jumlah projek yang baharu serta dalam perancangan pembinaan untuk enam bulan akan datang agak perlahan.

Pada tahun 2022, projek pembinaan bermula de­ngan me­libatkan sebanyak 8,000 kawasan bertanah dan unit kediaman bertingkat tinggi tetapi menjelang akhir tahun ini, hanya lebih daripada 89,000 unit projek sedang dirangka untuk pembinaan masa depan.

Adakah kenaikan OPR memberi impak kepada harga rumah?
Kami berpendapat bahawa bank kini dalam usaha untuk mengekang kenaikan dalam inflasi dan mendorong ekonomi untuk soft landing yang mana pertumbuhan serta inflasi dapat diimbangkan.

Prospek pertumbuhan adalah berdaya saing, malah dengan kenaikan kadar faedah ia akan membantu ­menyokong pasaran perumahan.

Kami percaya pasaran perumahan akan terus kekal teguh dengan pertambahan harga yang agak sederhana serta permintaan yang akan terus tumbuh.

Indikator untuk pasaran perumahan adalah positif sejak tiga suku lalu. Transaksi volum bertambah, indeks harga rumah naik dan rumah terbengkalai pula menyusut.

Kami berkeyakinan bahawa trend positif ini akan berterusan sehingga suku kedua tahun ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN