Macam-macam yang berlaku di Kemboja tuan rumah kepada penganjuran temasya Sukan SEA ke-32 yang akan berakhir pada 17 Mei ini.
Bermula dari isu peraturan perlawanan sehingga kepada masalah di gelanggang pertandingan dan bendera terbalik, banyak yang perlu diperbaiki oleh Kemboja.
Paling mencuri tumpuan pastinya isu naturalisasi melibatkan atlet tuan rumah. Ia menjadi perdebatan dalam kalangan peminat sukan di media sosial.
Hakikatnya, Kemboja adalah Kemboja. Ini merupakan kali pertama mereka menganjurkan temasya sukan
terbesar di rantau Asia Tenggara.
Pada tahun 1963, Kemboja berpeluang menjadi penganjur Sukan Semenanjung Asia Tenggara ke-3, namun temasya itu dibatalkan ekoran situasi politik. Justeru, peluang kali ini pastinya mahu digunakan sebaiknya oleh Kemboja.
Ia bukan hanya aspek menyediakan kemudahan dan prasarana sukan terbaik, tetapi lebih daripada itu untuk memastikan mereka mampu menggondol lebih banyak pingat emas.
Melihat kepada sejarah, Kemboja bukanlah kuasa utama kepada Sukan SEA berbanding negara jiran, Thailand dan Vietnam selain Indonesia dan Malaysia. Ringkasnya, tahap pencapaian Kemboja sama seperti Brunei, Laos dan Timur-Laste.
Pada edisi 2021 di Vietnam, Kemboja meraih sembilan emas, manakala sebelum itu di Filipina, mereka membawa pulang dua emas.
Kini, selaku tuan rumah bagi edisi 2023, Kemboja sudah membolot 59 emas (setakat 14 Mei) untuk berada pada kedudukan ketiga keseluruhan di belakang Vietnam dan Thailand.
Antara yang menyumbang kepada kejayaan Kemboja adalah dengan kehadiran atlet import dan naturalisasi.
Sukan bola keranjang merupakan contoh kepada ‘kebijaksanaan’ Kemboja dalam memanipulasi hak sebagai tuan rumah apabila mereka menang emas dalam acara 3×3 lelaki selepas menewaskan Filipina.
Hal sama berlaku dalam sukan kriket. Mangsa kali ini adalah skuad kriket lelaki Malaysia yang sekadar perak selepas tewas kepada Kemboja yang dibarisi pemain import dari India dan Pakistan.
Sukan hoki turut memperlihatkan kejaguhan Kemboja dengan penampilan pasukan lelaki yang disyaki diperkuatkan oleh ‘pemain luar’ khususnya dari Pakistan.
Kemboja juga memanipulasi peraturan naturalisasi dalam sukan badminton apabila menggunakan atlet dari China. Dan hasilnya, mereka meraih emas bagi acara berpasukan campuran!
Bagaimanapun, di sebalik segala kecaman ke atas Kemboja, nada pujian sebaliknya dilontarkan kepada kontinjen Brunei. Ramai mengakui Brunei adalah contoh kepada sebuah negara yang mementingkan semangat kesukanan berbanding pungutan pingat.
Menjadi antara negara terkaya di dunia dengan jumlah penduduk yang sangat sedikit, Brunei tetap tampil di Sukan SEA dengan kudrat anak tempatan.
Paling penting, mereka masih mampu meraih dua kilauan emas dalam acara wusyu.
















