fbpx

Pergelutan antara parti politik perlu dihapuskan hari ini – Adam Adli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Adli (dua kiri) bercakap pada sesi "Politik Sebagai Wadah Anak Muda Membina Bersama Negara" ketika Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 di WTC Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini diharap mampu menjernihkan semula permusuhan antara parti-parti politik yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, atas dasar itu, sayap semua parti mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menguruskan perbezaan dan menyatakan komitmen bersama bagi menguatkan lagi gabungan Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, kefahaman pembentukan kerajaan antara parti itu mungkin mudah difahami dalam kalangan barisan pimpinan utama, namun berbeza bagi akar umbi yang masih memerlukan penerangan hala tuju lebih jelas.

“Pemimpin di peringkat atas lebih mudah memahami dan membentuk kesefahaman dalam Kerajaan Perpaduan kerana sering bertemu di Parlimen atau mesyuarat bersama, berbanding rakyat di peringkat akar umbi.

“Justeru mereka memerlukan suatu hala tuju yang jelas dan saya harap konvensyen ini adalah permulaan kepada hala tuju yang lebih jelas. Tidak guna berhimpun sekadar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa limpahkannya kepada rakyat.

“Ini kerana sebuah toleransi tidak boleh dilakukan dengan kepura-puraan, namun perlu datang dengan hati ikhlas,” katanya pada Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Pada program sama, Adam Adli hadir bagi menyertai sesi dialog bertajuk ‘Politik Sebagai Wadah Anak Muda Membina Bersama Negara.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, kementerian itu sedang melaksanakan program perintis pendidikan demokrasi membabitkan 5,000 orang di seluruh negara bermula bulan ini.

Katanya, program pendidikan demokrasi itu adalah bagi memastikan golongan muda mampu dilahirkan sebagai pengundi yang memainkan peranan dalam pembentukan pentadbiran kerajaan.

“Dalam menjayakan program itu seperti diminta Kabinet, KBS mengadakan pertemuan dengan sayap pemuda parti kita jemput juga wakil BERSATU dan PAS.

“Kita bentang apa yang kita rangka membabitkan program pendidikan demokrasi untuk anak muda yang kini dipergiatkan untuk mematangkan golongan muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI