fbpx

Beria ajak cari etok petanda ajal dua beradik lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Zubaidah menunjukkan gambar dua orang anaknya yang lemas di Sungai Tebing Tinggi dekat Tanah Merah, semalam. Foto ROSALWANI CHE SOH

PASIR MAS – Ibu kepada dua beradik yang lemas di Sungai Tebing Tinggi, Tanah Merah semalam tidak menyangka tindakan anak-anaknya itu yang beria-ria mengajak mencari etok di sungai terbabit menjadi petanda kepada pemergian mereka buat selamanya.

Siti Zubaidah Marikan Yassin, 45, berkata, Mohd. Fauzi Mat Yaacob, 29, dan Mohd. Syah Iskandar Abdullah,10, yang merupakan adik-beradik tiri mengajak bapa mereka, Mohd. Mat Yaacob Jusoh, 63, mencari etok selepas tidak puas makan kerang sungai itu sehari sebelum kejadian.

Menurutnya, kebiasaannya dia hanya keluar bersama suami mencari etok untuk dijadikan lauk kerana makanan itu digemari oleh seluruh ahli keluarga.

“Kedua-dua anak saya memaklumkan bahawa mereka tidak puas makan etok yang saya dan suami bawa pulang. Mereka beria-ria mengajak kami pergi semula ke Sungai Tebing Tinggi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari rumah.

“Semasa mencari etok, saya sempat lihat mereka berdua minta tolong sebelum lemas. Saya masih trauma lepas lihat kedua-dua anak lemas di depan mata,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kubang Chenok, Cetok di sini hari ini.

Terdahulu, Siti Zubaidah dikunjungi oleh Yang Dipertua Pertubuhan Ikatan Murni Chetok, Hafifi Mohd. Nor yang hadir melawat keluarganya.

Menurut Siti Zubaidah, dia dan seluruh ahli keluarga amat sedih dengan kehilangan dua beradik itu, namun reda dengan pemergian mereka.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dua beradik tiri dikhuatiri lemas semasa mencari etok di Sungai Tebing Tinggi, Bukit Kecil, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Fauzi dan adiknya, Mohd. Syah Iskandar dipercayai pergi ke kawasan tersebut bersama keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Zulkifli Osman berkata, ibu mangsa, Siti Zubaidah cuba menyelamatkan Mohd. Fauzi dan Mohd. Syah Iskandar, namun dia turut lemas dalam kejadian tersebut.

“Siti Zubaidah bagaimanapun berjaya diselamatkan suaminya, namun kedua-dua mangsa lemas di lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI