fbpx

10 individu rugi RM1 juta ditipu ‘Donovan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDREW Ooi (tengah) bersama mangsa-mangsa yang ditipu ketika sidang akhbar di Pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 10 individu termasuk tiga warga emas terpaksa berputih mata apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan pelan perlindungan wang simpanan daripada seorang ejen insurans yang dikenali sebagai Donovan.

Kesemua mangsa kerugian hampir RM1 juta apabila wang tunai yang diserahkan sebagai bayaran premium pelan perlindungan berkenaan telah dilarikan lelaki berusia lingkungan 30-an itu.

Selain menipu wang insurans, Donovan juga didakwa menipu dan melarikan wang seorang mangsa yang melabur di dalam syarikatnya sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000.

Dalam kejadian itu, bekas tunang Donovan turut menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit apabila dia dan keluarganya turut mengalami kerugian bernilai lebih RM100,000.

Menurut Pengerusi Parti Gerakan Paya Terubong, Andrew Ooi, secara keseluruhan terdapat 15 mangsa yang mendakwa telah ditipu Donovan dan setakat ini seramai 10 mangsa yang tampil manakala tujuh daripada mereka telah membuat laporan polis.

“Donovan telah menghilangkan diri sejak Disember tahun lalu dan mangsa-mangsa telah membuat laporan polis pada Januari dan Februari tahun ini namun lelaki ini masih gagal ditemui.

“Kesemua mangsa ditipu sekitar RM100,000 hingga RM300,000 dan mereka berharap Donovan segera tampil menyerah diri kepada pihak polis dan membayar kembali wang mereka,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Gerakan di sini hari ini.

Andrew berkata, pihaknya juga meminta orang ramai berhati-hati apabila didatangi ejen insurans yang mendakwa menawarkan perlindungan kewangan kepada mereka.

“Donovan akan meminta manga membayar keseluruhan premium insurans perlindungan wang simpanan kepadanya secara tunai dan dia akan membantu mangsa membayar wang tersebut kepada syarikat insuran.

“Dia hanya akan membayar wang tersebut kepada syarikat insurans selama sebulan atau dua bulan sahaja dan kemudian akan melarikan diri, kami difahamkan lesennya pada masa ini telah ditarik syarikat insurans,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI