fbpx

UTeM terima geran RM446,000 bangunkan AI, silikon karbida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASSILA (dua dari kiri) menerima replika cek daripada Ngan Leong (dua dari kanan) pada Majlis Mahabbah Aidilfitri di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima dua geran penyelidikan berjumlah RM446,000 daripada syarikat semikonduktor, On Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd. (Onsemi) bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk industri kenderaan elektrik (EV) dan pembangunan silikon karbida.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pemberian geran berkenaan membuktikan syarikat berkenaan mempercayai kepakaran menerusi pelbagai pencapaian yang dicapai UTeM sebelum ini.

Katanya, syarikat yang memiliki dua kilang semikonduktor di Seremban, Negeri Sembilan itu mahu memperluaskan lagi skop penyelidikan bersama tenaga kerja universiti terutama yang memiliki kepakaran dalam bidang EV, AI dan bahan.

“Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani antara UTeM dan Onsemi sebenarnya berkait dengan penyelidikan dan inovasi.

“Kita menerima dua geran industri antarabangsa iaitu untuk pembangunan AI berjumlah RM208,672 dan silikon karbida bernilai RM238,698 bagi tempoh April tahun ini hingga Mac tahun depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Aidilfitri di Kampus Induk UTeM di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Tambahnya, pertukaran MoA itu juga sebagai satu platform untuk memperlihatkan bahawa UTeM mengambil berat akan hubungan dan kerjasama dengan pihak industri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI