fbpx

Tindakan Michelle atas rasa tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA

ARENA sukan negara gempar selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai me­ngumumkan peletakan jawatan kelmarin ekoran aksi mengecewakan skuad wanita kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Selain Michelle, Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Dr. Tim Jones turut dilucutkan daripada tugas berkuat kuasa serta-merta, ketika skuad badminton negara giat melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Piala Sudirman 2023 bermula 14 Mei ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengambil maklum perkara berkenaan dan menganggap keputusan Michelle atas rasa tanggungjawab.

“Pada 26 November tahun lalu, Majlis BAM ambil keputusan untuk pindahkan operasi ABM kepada badan profesional tanpa ada sebarang gangguan. Ia melibatkan Michelle, Dr. Tim, kejurulatihan dan staf sokongan.

“Apa keputusan (letak jawatan) yang dibuat hari ini (kelmarin), sebenarnya ia dibuat oleh mereka sendiri. Macam Michelle, beliau sudah buat penilaian dan faham tanggungjawab mengenai peranan diberikan,” katanya.

Terdahulu, Michelle yang juga bekas Penolong Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meluahkan kekecewaan atas kekalahan memalukan skuad badminton wanita negara kepada Filipina di pusingan suku akhir acara berpasukan pada Sukan SEA Kemboja.

Mohamad Norza juga menjelaskan, beliau akan mengadakan perjumpaan bersama jawatankuasa pengurusan BAM bagi membincangkan kedudukan Michelle selaku Penolong Penyelaras Projek ‘Road to Gold’ (RTG).

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung kedudukan Michelle kerana perlu mengadakan perbincangan sama ada untuk menerima atau menolak peletakan jawatan tersebut.

“Walaupun Michelle sudah menyerahkan surat peletakan jawatan, namun kami akan bawa perkara ini dalam mesyuarat untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

“Sementara itu, saya juga tidak tahu apa yang berlaku kepada Tim Jones tetapi kami akan berbincang mengenainya. Saya perlu mendapatkan maklumat mengenai pemecatan beliau,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI