fbpx

Wanita warga asing minta wang daripada orang ramai di Genting Highlands ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar wanita warga asing yang cuba memujuk dan meminta wang daripada seorang lelaki di Genting Highlands di Bentong baru-baru ini.

BENTONG – Tindakan empat wanita warga asing yang menjalankan aktiviti meminta wang daripada orang ramai di sekitar Genting Highlands membawa padah apabila mereka ditahan pihak polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, empat suspek yang berumur antara 30 hingga 34 tahun ditahan susulan aduan daripada orang awam mengenai tindakan suspek yang meminta sedekah.

“Kesemua suspek menggunakan kaedah memujuk dan merayu untuk meminta sedekah daripada orang ramai di kawasan Hotel First World dan kawasan Genting Malaysia Berhad.

“Hasil siasatan polis mendapati empat wanita warga asing berkenaan telah menjalankan kegiatan meminta wang daripada orang ramai di sekitar Genting Highlands sejak 5 Mei lalu,”katanya di sini hari ini.

Semalam turut tular dalam media sosial video berdurasi 23 saat memaparkan wanita warga asing yang dipercayai cuba memujuk dan meminta wang daripada seorang lelaki di sekitar Genting Highlands.

Menurut Zaiham kesemua wanita warga asing berkenaan telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Genting Highlands untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 27 (C) Akta Kesalahan Kecil 1955 (peminta-peminta sedekah) iaitu sesiapa yang meminta sedekah di tempat awam tetapi boleh mencari pekerjaan sah untuk hidup boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga satu bulan atau kedua-duanya sekali.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI