fbpx

Pembinaan hospital, klinik baharu perlu disiapkan ikut jadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin (dua kiri) bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (dua kanan) berkenan melawat ruang pameran di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya projek berkepentingan tinggi seperti pembinaan hospital dan klinik baharu hendaklah disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, khususnya di negeri Selangor.

Titah baginda, agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan ke atas projek tersebut hendaklah memantau dengan teliti pelaksanaan projek dan menangani sebarang masalah pembinaan dengan pantas serta efisyen.

“Dengan terbinanya fasiliti kesihatan baharu di Selangor, rakyat boleh mendapatkan rawatan terbaik dengan kos yang mampu dan berpatutan.

“Oleh itu, pembinaan hospital dan klinik awam mesti dilaksanakan dengan cekap supaya diselesaikan dalam tempoh yang dirancang dan beroperasi dengan efisyen bagi kesejahteraan rakyat jelata,” titahnya.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan pengurusan hospital baharu hendaklah mempunyai sistem pengurusan fasiliti yang cekap dan memastikan penyelenggaraan berjadual dilaksanakan.

“Beta juga menyeru agar semua fasiliti kesihatan yang uzur dan hospital-hospital lama hendaklah diberi perhatian dan penjagaan yang teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Setiap infrastruktur dan peralatan yang rosak perlu dinaik taraf dan dibaiki untuk keselesaan pesakit dan mempermudahkan akses kesihatan kepada rakyat,” titah baginda.

Sutan Selangor juga menzahirkan saranan kepada rakyat untuk bertimbang rasa dan bersabar apabila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana mempunyai ramai pesakit yang memerlukan perhatian tatkala ruang serta bilik rawatan terhad.

Titah baginda lagi, rakyat perlu meluangkan masa untuk bersukan dan beriadah serta mengamalkan pemakanan sihat selaim mempertingkatkan ilmu pengetahuan tentang pengurusan kesihatan diri secara komprehensif.

Dalam perkembangan lain, titah Sultan Sharafuddin, trend peningkatan penyakit tidak berjangkit secara global turut dilihat di kalangan rakyat Malaysia termasuk penduduk di negeri Selangor.

“Saban hari, kos perawatan, ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan penduduk turut meningkat dan membebankan rakyat.

“Kerajaan haruslah prihatin terhadap mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk penjagaan kesihatan penduduk dengan memberi perhatian kepada agenda membangunkan skim insurans kesihatan kebangsaan agar rakyat mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan sama ada di fasiliti kerajaan ataupun swasta,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan dan menjenamakan semula Hospital Serdang kepada Hospital Sultan Idris Shah,  Serdang di sini hari ini.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. – KOSMO! ONLNE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI