fbpx

Mahkamah: Jho Low `pengarah bayangan’ pelaburan dana AS$2.3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jho Low.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan `pengarah bayangan’ di sebalik transaksi pelaburan dana luar pesisir bernilai AS$2.3 bilion.

Kevin Michael Swampillai berkata, Jho Low berperanan memberi `lampu hijau’ meluluskan pelaburan dana dalam Brazen Sky Limited manakala bekas pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti Jasmine Loo dan Terence Geh melaksanakan arahan tersebut.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Cawangan Singapura berkata, Jasmine dan Terence tidak diberi kuasa membuat keputusan dan terpaksa merujuk kepada Jho Low selaku individu paling berkuasa dalam 1MDB.

“Jho Low seperti `pengarah bayangan’ dan arahan beliau paling kerap dilaksanakan,” demikian ujar saksi pendakwaan ke-44 pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Kevin dirujuk dengan pernyataan saksinya yang menyatakan bahawa Brazen Sky membuat `keputusan bebas’ berhubung niat untuk memindahkan aset kepada dana fidusiari AS$2.3 bilion.

Ujarnya, peranan bank berkenaan dalam mengenal pasti dana fidusiari melibatkan Bridge Partners dan Brazen Sky.

Kevin bersetuju dengan cadangan pasukan pembelaan bahawa Jho Low kerap dirujuk dan dalam isu melibatkan Brazen Sky, wujud fakta bagi menyokong pemerhatian beliau bahawa kebanyakan arahan dikeluarkan oleh Jho Low.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI