PERJALANAN mengenal atau mencari reda Ilahi itu berbeza-beza bagi setiap individu. Ada yang istiqamah menutup aurat atau sekalipun, berlumba-lumba menjauhi segala larangan Allah SWT. Ada juga yang barangkali masih belum ditemukan petunjuk dan berbolak-balik untuk dijentikkan hati menuruti segala larangan Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Buat pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, dia mengakui masih jauh langkahnya untuk bergelar Muslimah sejati, apatah lagi sempurna serba-serbi dalam setiap perihal.
Sering menjadi bahan sindiran impak penampilan yang adakala berani dan seksi, pemilik nama sebenar, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin tidak berdaya menutup peluru nista khalayak mempertikaikan dirinya tidak menutup aurat sebetulnya.
Ya, sudah dua kali dikabulkan rezeki berkunjung ke Tanah Suci bagi urusan ibadah umrah, namun Daiyan masih kembali dengan imej sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Mungkin saya belum tutup aurat sepenuhnya tapi apabila datangnya bulan puasa, saya cuba.
“Saya minta supaya orang yang ringan mulut bercakap sentiasa doakan saya. Istiqamah ini sangat berbeza bagi setiap individu. Nak jadi seorang muslimah yang sempurna pun, masih jauh lagi.
“Dugaan atau cabaran untuk setiap orang itu berbeza-beza. Walaupun orang tak nampak, saya percaya setiap kali balik umrah, saya bawa ‘balik’ diri yang baharu.

“Biarpun tak tutup aurat, saya ada matlamat sendiri dan apa yang saya boleh sumbangkan kepada diri dan masyarakat di luar sana,” mukadimahnya buat perkongsian bersama Pose.
Sebagai individu yang menjadikan dunia hiburan sebagai periuk nasi, Daiyan percaya, kebaikan seseorang itu terutama kaum wanita tidak hanya tergantung dengan pemakaian hijab atau menutup aurat dengan sempurna.
“Benda ini (soal tutup aurat) saya rasa sangat luas. Sebab, ada yang daripada seksi yang tahap tak tahu apa-apa, terus esoknya turut aurat.
“Ada juga perlahan-lahan menurut aurat dengan berselendang dan kemudian ‘tutup’ terus. Macam saya cakap, proses menutup aurat berlainan bagi setiap individu.
“Ada yang pakai, cabut. Pakai cabut. Tak mengapa, sebab mereka pun mencuba. Siapa kita untuk menghakimi?
“Kalau orang buat jahat dan esoknya buat baik dan hari berikutnya buat jahat balik, takkan kita nak terus jadi ‘Tuhan’.
“Secara peribadi, bagi saya, wanita sangat senang dihukum atas apa yang kita pakai. Sebab entahlah, mungkin orang rasa senang begitu,” ujarnya.

‘Kalaulah hati boleh dilihat’
Tambah pelakon yang bakal muncul dengan filem Sumpahan Jerunei itu, kudus hatinya lebih penting daripada apa yang terlihat pada mata kasar khalayak.
“Takkanlah setiap kali saya balik umrah, apa yang orang tengok hanya pakaian saya sahaja. Sebab itu yang paling senang untuk dilihat.
“Itu paling senang untuk dicari salah. Kalau hati ini keluar, maknanya boleh nampak tompok-tompok hitam – itu pun orang akan judge (sibuk untuk menghakimi).
“Masalahnya, hati kita ini orang tak boleh nampak. Orang tak boleh nampak hati saya, mereka hanya nampak luaran sahaja.
“Jadi, saya faham apabila orang judge saya bila tak pakai tudung. Cumanya, kalau orang boleh tengok hati saya, mereka mungkin akan lebih memahami bagaimana saya belajar dan memperbaiki diri daripada semua umrah yang saya jalani,” getus Daiyan, 30.
Ditebak sama ada dirinya bersedia untuk bergelar hajah, Daiyan dengan merendah hati mengakui berasakan dirinya terlalu ‘kerdil’ untuk ke arah itu.
“Mengerjakan rukun Islam kelima (haji) belum lagi. Saya tak tahu bila waktu itu akan sampai.
“Saya rasa, kalau buat haji, balik memang dah kena betul-betul berubah 180 darjah. Saya tak boleh jawab sekarang.
“Saya tak tahu sama ada saya bersedia atau tidak kalau rezeki atau peluang itu datang secara tiba-tiba.
“Saya sedar masih kerja dalam industri ini,” tuturnya.

Menyelam dalam selut
Berbicara tentang projek seni terbaharunya, Sumpahan Jerunei yang akan ditayangkan pada Julai depan, naskah seram tersebut dianggap Daiyan cukup mencabar fizikalnya.
Menurut Daiyan, komitmen sepanjang menjayakan penggambaran filem arahan Jason Chong itu menjadi satu pengalaman baharu buatnya yang terpaksa menjayakan sendiri babak aksi.
“Umur saya 23 atau 24 tahun ketika menjalani penggambaran filem Sumpahan Jerunei. Secara mental dan fizikal memang sangat mencabar sampai lebam badan saya.
“Penggambaran banyak dijalankan dalam hutan. Babak aksi dalam filem memang saya jayakan sendiri. Saya masih ingat kena bergolek dari atas bukit di hutan.
“Kena juga lari dan berjalan berkaki ayam. Ada babak saya kena dilemaskan dalam selut. Produksi letak air, daun-daun kering, tanah dan sabut kelapa.
“Saya kena masuk dalam selut dan menyelam. Masuk sabut kelapa ke dalam telinga sampai kena jangkitan gegendang telinga. Terpaksa pergi klinik, namun tiada apa yang serius,” katanya yang turut berdepan serangan panik ketika menjayakan babak berkenaan.
Kendatipun, apa yang berlaku ketika karier seninya mahu bercambah merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Kata Daiyan, dia tidak mempunyai sekelumit sesalan menjayakan sendiri semua babak tersebut tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.
“Waktu itu, saya muda dan semua benda nak cuba. Tapi, itulah cabaran bergelar pelakon.
“Kalau nak real, kita jayakan sendiri baru rasa kepuasan,” ungkapnya menggulung kata.















