MENJADI hasrat pada setiap pasangan untuk memiliki cahaya mata selepas memilih menghalalkan hubungan melalui perkahwinan.
Kehadiran cahaya mata sudah semestinya akan menjadi pengikat kasih sayang antara setiap pasangan.
Namun begitu, tidak semua bernasib baik kerana ada pasangan yang diuji di mana mereka tidak dianugerahkan dengan cahaya mata setelah berkahwin.
Seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Ayu antara individu yang berhadapan dengan ujian tersebut.
“Saya dan suami telah enam tahun berkahwin, tetapi nasib belum menyebelahi kami untuk mendapat cahaya mata.
“Saya reda dengan takdir dan mungkin belum tiba masanya untuk saya mengandung,” katanya yang kini berusia 32 tahun.

Dalam pada itu, Ayu mengakui dia berhadapan dengan cabaran dari segi emosi apabila memikirkan mengenai masalah tersebut.
Disebabkan hal tersebut juga, dia harus menerima hakikat bahawa dirinya telah diceraikan oleh suami.
“Kami berkahwin atas dasar cinta seperti pasangan yang lain.
“Setelah berkahwin sebolehnya kami ingin mendapatkan cahaya mata secepat mungkin.
“Namun, kita manusia hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan.
“Selepas enam tahun, kami tidak dikurniakan cahaya mata,” jelasnya.
Mengulas lanjut tentang hal itu, Ayu berkata, dia sering berhadapan dengan golongan ‘mulut puaka’ yang sering bertanya mengenai anak.
Katanya, persoalan tersebut sering diajukan oleh saudara-mara suaminya apabila mereka berkumpul bersama.
“Ketika berkumpul menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga suami, ada salah seorang bapa saudaranya meminta saya memberi kebenaran kepada suami berkahwin lain bagi mendapat zuriat.
“Dia mungkin sekadar ingin bergurau, namun bagi saya gurauan berkenaan terlalu kasar.
“Saya sebenarnya amat terasa hati dengan gurauan seperti itu,” jelasnya.
Tambahnya, dia juga mengetahui ahli keluarga yang lain turut berbicara mengenai dirinya yang masih tidak mengandung.
Sementara itu, Ayu berkata, dia dan suaminya telah mengusahakan pelbagai cara untuk mendapatkan cahaya mata, namun rezeki masih belum menyebelahi mereka.
Malah, dia sanggup membelanjakan wang sendiri untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkannya mengandung, tetapi tetap gagal.
“Saya juga mengikuti perintah keluarga mentua untuk mendapatkan rawatan secara tradisional, namun hasilnya tetap sama.
“Terkadang, saya menangis bersendirian kerana tidak boleh memberi zuriat seperti dimahukan suami,” katanya.
Disebabkan hal tersebut, hubungan Ayu dengan suaminya menjadi semakin hambar.
Suaminya juga sering melakukan hal sendiri dan kadangkala tidak ‘lekat’ di rumah apabila sering keluar melakukan aktiviti di luar.
Ayu mengerti bahawa suaminya itu berasa sunyi di rumah kerana tidak ada anak untuk bermain.
Masa berganti masa, akhirnya suaminya menyatakan hasrat untuk berkahwin lain kerana ingin mendapatkan zuriat segera.
“Suami saya beritahu, dia sememangnya ingin cahaya mata yang boleh menjadi pewarisnya.
“Dia juga telah lama bersabar dengan saya kerana tidak boleh memberinya anak.
“Malah, dia berterus terang bahawa ada menjalinkan hubungan cinta dengan rakan sekerjanya. Mereka telah merancang untuk berkahwin,” jelasnya.
Dia memaklumkan, suaminya harus ‘melepaskan’ Ayu terlebih dahulu kerana calon isteri baharu memberi syarat berkenan.
Jelasnya, calon isteri baharu suaminya enggan berkongsi kasih sayang dengan orang lain.
Sebagai seorang isteri, Ayu ternyata kecewa dengan keputusan suaminya itu dan merasakan ia satu tindakan yang kejam.
Rentetan itu, Ayu mendapatkan nasihat keluarganya serta meminta petunjuk daripada Tuhan sebelum mengambil sebarang keputusan.
Akhirnya, Ayu berlapang dada dan menerima keputusan bahawa dia dan suaminya itu harus berpisah.
Kemudian, mereka mengambil keputusan untuk berpisah secara baik di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.














