fbpx
Rai menyifatkan penglibatannya dalam bidang pengacaraan berlaku secara kebetulan.

Suara jurujual TV pintu rezeki Rai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGELAR personaliti televisyen bukanlah satu perkara mudah, lebih-lebih lagi dalam memastikan program yang dikendalikan terus meraih perhatian penonton.

Bergelumang dalam dunia popular sebagai pengacara lebih dua dekad dengan cabaran tersendiri langsung tidak pernah sedikit pun membuatkan wanita yang lebih dikenali sebagai Rai ini mengangkat bendera putih daripada kerjaya dicintai.

Bakat, pesona dan karisma yang ada dalam diri anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini pasti membuatkan sesiapa sahaja selesa dengannya.

Berbekalkan bakat dan kepetahannya berkata-kata, Rai atau nama sebenarnya Raianna A. Rahman diberi kepercayaan stesen televisyen swasta popular untuk mengendalikan segmen yang tidak asing bagi pembeli dalam talian di televisyen.

Sejak diberikan kepercayaan bermula sekitar pertengahan 10 tahun lalu, nama dan personalitinya semakin meraih populariti dalam kalangan pengikut serta penonton setia segmen beli-belah televisyen.

Tidak keterlaluan jika dikatakan suaranya cukup dikenali dan sinonim dalam kalangan penonton Go Shop hinggalah ke saat ini.

Ke udara secara langsung menemani penonton dua kali sehari menerusi Go Shop (saluran 118 dan 111), Rai dilihat langsung tidak kekok untuk mengemudikan program berkonsep jual beli dinamik itu.

Intonasi suara ‘promoter’ Rai yang becok tapi menyenangkan dalam menyampaikan maklumat mengenai produk selesa didengari penonton.

Berpeluang menemu bual ketua pengacara Go Shop yang juga pernah mempunyai rancangan sendiri RaiLive ini, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui hal tersebut dan menyifatkan suaranya menjadi sumber periuk nasinya yang dipinjamkan Ilahi buat dirinya.

“Diam tak diam, tugas saya bersama Go Shop hampir mencecah 10 tahun dan seperti yang kita tahu tanggungjawab utama saya adalah untuk meyakinkan para penonton untuk membeli.

“Justeru, bagi memastikan penonton tertarik dan berminat melakukan pembelian, intonasi dan tona suara pengacara sangat penting. Kalau bingit, penonton akan kurang selesa dan hilang minat.

Boleh dikatakan jika itu berlaku, sebagai pengacara Go Shop, anda telah gagal,” katanya.

Tidak lokek berkongsi kisah perjalanan kariernya sebagai hos, Rai berkata, penglibatannya dalam bidang pengacaraan berlaku semuanya secara kebetulan dan rezeki.

“Secara jujur, saya tak pernah merancang untuk menjadi pengacara. Sebenarnya, ibu yang suruh hadir open audition (uji bakat terbuka) di salah satu syarikat televisyen.

“Tidak sangka rezeki menjadi milik saya. Maka bermulalah pembabitan saya dalam bidang produksi televisyen. Sebelum itu, saya memang banyak tampil untuk iklan-iklan televisyen,” katanya.

Meneruskan perbualan, Rai tidak menafikan pasti ada sahaja cabaran dan halangan tertentu dalam apa jua kerjaya termasuklah pengacara sepertinya.

Katanya, sepanjang 20 tahun melibatkan diri dalam dunia popular itu, dia juga berdepan pelbagai cabaran dan kisah menarik yang pasti tidak boleh dilupakan.

“Sebelum terjun menjadi pengacara Go Shop, saya sebelumnya pernah ditugaskan sebagai pengacara sebuah rancangan aktiviti lasak, paintball untuk beberapa episod.

“Itu antara pengalaman yang memang saya tidak boleh lupakan apabila penggambaran dilakukan berminggu-minggu dan sepenuhnya di padang ragbi yang mana kemudahan asas seperti tandas tidak disediakan di situ.

“Jadi pada ketika itu, saya dan semua kru program memang kena ‘ikat perut’ dan terpaksa menahan untuk buang air kecil mahupun besar. Saya juga pernah tak makan dan minum sampailah habis rakaman.

“Itu antara pengorbanan terbesar dan pengalaman yang mungkin tidak akan saya lupakan. Cabaran lain itu ada jugalah tapi tidaklah sampai mendatangkan impak atau trauma kepada saya,” ujarnya.

Ditebak bagaimana dia mengekalkan kerelevanan dirinya sebagai hos program, Rai mengakui, setiap mereka yang bergelar pengacara harus ada identiti dan personaliti sendiri.

Rai dikenali menerusi segmen jual beli televisyen, Go Shop dan kini sudah sedekad mengendalikannya.

Jelasnya, pengacara harus ada keunikan supaya boleh kekal relevan setiap masa termasuklah menjaga penampilan diri dan memastikan diri kekal menarik ketika bersiaran mahupun di luar studio.

Berkongsi mengenai perkara yang paling ditakuti ketika ke udara mengendalikan segmen jual beli, Rai mengakui paling digusarinya jika dirinya perlu melakukan demonstrasi secara live, tetapi menemui kegagalan atau kata lainnya tidak menjadi.

“Itu perkara yang paling saya risaukan.

“Menerusi Go Shop juga, setiap episod adalah berbeza. Jadi, kita harus sentiasa bersedia untuk apa sahaja yang akan berlaku,” katanya yang memberitahu pentingnya untuk pengacara membuat sedikit penyelidikan mengenai produk yang ingin ditawarkan sebelum menjual.

Ditanya mengenai kriteria yang diperlukan seseorang pengacara, Rai memberitahu, penampilan yang menarik merupakan syarat utama selain berkeyakinan, bijak meyakinkan penonton sekali gus tidak malas memahami serba sedikit tentang latar belakang produk.

Mungkin ramai juga yang menyedari bahawa Rai juga berkebolehan berbahasa Hindi ketika bersiaran.

Jelasnya, dia bukan sahaja boleh bertutur dan memahami bahasa Hindi, tetapi juga mampu berbahasa Perancis.

“Saya mula belajar bahasa Perancis selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Sambil menunggu keputusan, saya mendaftarkan diri di Alliance Francaise yang terletak di ibu negara.

“Bagi bahasa Hindi pula, saya belajar ketika tinggal di New Delhi, India selama tiga tahun sebelum ini. Ketika itu, ayah ditugaskan di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana.

“Nak kata itu satu keistimewaan dan keunikan dalam diri, saya tidak menafikannya.

“Cumanya, bila tidak ada teman yang boleh bercakap bahasa asing tersebut, lama-lama jadi ‘berkarat’ juga akhirnya,” tuturnya tertawa kecil.

Menjadi seorang personaliti televisyen yang kerap kali ditonton jutaan mata, soal imej dan gaya sekali gus membuatkan dirinya mengoptimumkan aspek kesihatan dan menyifatkan hal itu tidak boleh dipandang enteng.

Bagi dirinya, pemakanan yang teratur dan tidur yang mencukupi menjadi rahsia dia kekal energetik dan sentiasa kelihatan segar ketika bersiaran.

“Pastikan kekal aktif. Kalau boleh dua ke tiga kali seminggu harus bersenam untuk kekal sihat dan cergas.

“Secara peribadi, saya suka berlari, hiking (mendaki bukit dan gunung) dan jump rope (lompat tali).

“Tak perlu pun bayar mahal-mahal untuk masuk daftar gimnasium, banyak sekarang ini aktiviti menyihatkan yang percuma,” katanya.

Tidak boleh lari meskipun sedikit ‘tersepit’ dalam membahagikan masa di antara kerjaya dan juga seorang isteri serta ibu, Rai menyifatkan dia tiada pilihan untuk itu, namun percaya sentiasa ada penyelesaian.

Katanya, tipulah jika dia tidak menghadapi situasi tersebut, namun perlu berdisiplin dengan apa yang kita lakukan.

“Bila kerja, kita bagi tumpuan 100 peratus dan bila bersama keluarga, kita lupakan pasal kerja buat sementara. Jujur itu bukan perkara yang mudah, tetapi saya cuba sedaya upaya,” ungkapnya.

Menutup perbualan, Rai berkongsi tip untuk seseorang menghilangkan rasa malu sekali gus meningkatkan keyakinan ketika berada di khalayak ramai.

“Pertama sekali, kena tahu apa kekuatan dan bakat kita. Kalau kita petah bercakap, asah bakat bercakap.

“Belajar daripada memerhati mereka yang lebih senior dan lebih berpengalaman. Pada masa yang sama, jangan angkuh, kekal rendah diri dan rajin bertanya.

“Akhir sekali, sentiasa hormat mereka di sekeliling. Industri produksi di Malaysia tidak besar seperti di luar negara. Kekal humble (merendah diri) dan enjoy apa sahaja yang kita lakukan,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN