fbpx

Samun 7kg emas, seorang lelaki ditahan di Kuala Pilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noorhasliza Abd.Rahman menunjukkan lokasi kejadian samun dua lelaki bersenjatakan parang di Pekan Kuala Pilah semalam.

KUALA PILAH – Seorang lelaki berjaya ditangkap polis pukul 10 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata parang panjang di lorong belakang sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah di sini pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 50-an itu ditangkap di daerah ini oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Menurutnya, permohonan reman dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Pilah.

“Hasil siasatan awal mendapati dua suspek menggunakan topeng muka, bersenjatakan parang panjang dan disyaki telah menggunakan dua buah kenderaan iaitu Toyota Camry warna putih dengan nombor pendaftaran BKK 9169 dan Toyota Corolla Atlis warna Perak dengan nombor pendaftaran BLJ328.

“Nombor pendaftaran bagi kedua-dua kenderaan dipercayai palsu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi hotline IPD Kuala Pilah di talian 06-484 2999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, sejak pukul 1 petang semalam tular di media sosial video berdurasi 33 saat kes samun bersenjata berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI