fbpx

Video harimau baham lembu bukan di Felda Ulu Tebrau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman video yang menunjukkan seekor harimau membaham seekor lembu yang dipercayai berlaku di Indonesia dan bukannya berlaku di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menafikan sebuah rakaman video yang memaparkan seekor harimau membaham seekor lembu bukan berlaku di Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram di sini.

Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin berkata, video tular menunjukkan kehadiran ‘pak belang’ itu berlaku di Indonesia dan bukannya di negeri ini.

Beliau berkata, perkongsian video seumpama itu tanpa maklumat yang sahih hanya boleh mengelirukan ramai dan mengundang resah kepada penduduk setempat.

Jelasnya, video tersebut juga perlu dipadam kerana ia tidak ada kaitan dengan kemunculan harimau di Felda Ulu Tebrau seperti yang heboh diperkatakan sebelum ini selepas penemuan bekas tapak kaki binatang buas itu.

“Perhilitan masih menjalankan siasatan dan kami sedar ada gambar dan video yang tular di media sosial mendakwa ia berlaku di Felda Ulu Tebrau dan kami masih menyiasat kesahihannya dan sahkan video yang menunjukkan harimau makan lembu berkenaan dipercayai berlaku di Indonesia. Video itu perlu dipadam segera untuk elak kekeliruan orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wse Tse berkongsi sebuah video berdurasi 17 saat menunjukkan kejadian di sebuah kebun yang dinyatakan berlaku di Felda Ulu Tebrau.

Beliau mengesahkan ianya berlaku di kawasan berkenaan dan menyatakan orang ramai untuk tidak ke kawasan lapang khususnya malam sehingga arahan seterusnya oleh pihak Jabatan Perhilitan.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab Jalil Sahlan berkata, bukan saja video itu, terdapat juga gambar yang ditular pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan kejadian itu di Felda Ulu Tebrau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI