fbpx

Tiga kru kapal tangki hilang diyakini masih hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUL LIZAN (kanan) menunjukkan kapal MT Pablo yang terbakar pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang selepas kapal berkenaan terbakar kira-kira 50 peratus dalam satu kejadian di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam dipercayai masih hidup.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tiga kru itu terdiri daripada dua warganegara India iaitu Satyam Tripathi, 26; Dinesh Kumar Chauhan, 34, dan seorang warganegara Ukraine iaitu Sabit Shenderovsky, 37.

“Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 3 petang semalam itu, terdapat seramai 28 kru di dalam kapal berkenaan, 25 daripadanya telah diselamatkan manakala tiga lagi masih dicari.

“Ada kemungkinan mereka masih terselamat jika dapat melarikan diri daripada kawasan kebakaran iaitu ruangan tengah kapal. Mungkin ada ruangan yang tertutup yang kedap udara menyebabkan kawasan itu tidak terjejas.

“Namun jumlah bekalan oksigen pula bergantung kepada saiz ruangan berkenaan, sekiranya saiz kecil mungkin boleh bertahan sehari, atau jika ruangan itu besar mungkin mereka boleh bertahan beberapa hari,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat APMM Johor, di sini hari ini.

Tambah Saiful Lizan, ketika ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan melibatkan pelbagai aset laut dan udara beberapa agensi yang bekerjasama termasuklah Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Laut Johor serta Pelabuhan Johor.

“SAR yang dijalankan terbahagi kepada empat sektor antaranya kawasan pencarian menggunakan aset laut seluas 47.4 batu nautika dan aset udara dengan seluas 23.76 batu nautika.

“Selain itu, kita juga mendapatkan khidmat pasukan Hazmat bomba untuk memasuki kapal yang masih dipenuhi asap itu esok dalam usaha menjalankan SAR di atas kapal, memandangkan terdapat kemungkinan kru kapal hilang masih terperangkap di dalamnya.

“Ketika ini, punca kebakaran masih dalam siasatan kerana masih terlalu awal, namun kita bersyukur kerana tidak berlaku sebarang tumpahan minyak di lokasi, kerana ketika kejadian kapal tangki berkenaan tidak membawa muatan,” jelasnya.

Saiful Lizan turut memberitahu, kapal berkenaan mempunyai dokumen perjalanan lengkap dan sedang menanti kelulusan untuk memasuki Singapura dari China. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI