PETALING JAYA – Menjalani hukuman penjara selama 13 tahun empat bulan sudah cukup membuatkan seorang bekas banduan akhir mendekatkan diri kepada Tuhan dengan menjadikan al-Quran sebagai sahabatnya untuk dibaca pada waktu pagi dan petang.
Mohd. Fadli Mohd. Yusof, 56, berkata, sepanjang tempoh itu, dia telah mengkhatamkan 40 kali bacaan 30 juzuk al-Quran yang diharap dapat mengubah diri dan baki kehidupannya sebaik dibebaskan dari Penjara Kajang pada Disember tahun lalu.
Mengimbau semula detik ketika didakwa di mahkamah, bekas penjawat awam itu berkata, dunia dirasakan gelap apabila dia dijatuhi hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pada 2009.
“Kepala saya kusut dan pernah terfikir untuk gantung diri ketika bersendirian di dalam sel, tetapi Allah Maha Adil apabila hukuman saya dipinda ke Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memerlukan saya menjalani hukuman penjara 20 tahun.

“Ketika itu timbul perasaan ingin mendekatkan diri dengan Tuhan melalui al-Quran sebagai tanda syukur. Saya cuba istiqamah sebelum berjaya khatam 40 kali dan saya juga pastikan setiap kali Ramadan, saya khatam sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui di Kota Damansara baru-baru ini.
Menurut Mohd. Fadli, walaupun sudah menikmati hari pembebasan, dia masih merindukan aktiviti di dalam penjara terutamanya amalan membaca al-Quran bersendirian tanpa gangguan dan aktiviti kerohanian secara berjemaah.
Tambahnya, dia bersyukur apabila tempoh penjara 20 tahun telah dikurangkan hingga menjadi 13 selepas diberi ‘diskaun’ di atas pelbagai sebab.
“Syukur apabila doa saya untuk menyambut puasa dan Aidilfitri bersama anak dan saudara mara dimakbulkan.
“Walaupun saya tak sempat berjumpa isteri, Kamaliah Ali, 56, yang telah meninggal dunia lima tahun lalu, namun cukuplah melihat wajah anak dan cucu sebagai pengubat rindu,” katanya.
Ujar Mohd. Fadli, dia tak sangka kepulangannya bukan sahaja dinanti oleh anak-anak, malah saudara mara pun turut menyambutnya dengan hati terbuka.
“Ini semua hasil usaha arwah isteri dan kakak yang bersusah payah mencari peguam dan bawa kes saya ke Mahkamah Persekutuan sehingga hukuman mati dipinda kepada penjara. Walaupun tidak bebas, tetapi saya bersyukur,” katanya.

Mohd. Fadli juga menziarahi kubur isterinya dan bertemu saudara mara di Pontian, Johor.
Anak sulung, Siti Nur Huda, 31, berkata, dia dan tiga adiknya yang lain bersyukur kerana saat yang dinanti sejak sekian lama untuk mendapat kembali kasih sayang seorang bapa akhirnya menjadi realiti.
“Apa yang saya inginkan sejak 13 tahun lalu tercapai apabila dapat sambut Aidilfitri dan berbuka puasa bersama bapa.
“Kami memilih untuk menyambut raya di Pulau Tioman, Pahang selepas 10 tahun tidak ke sana,” katanya.
Menurut Siti Nur Huda, dia akan menjaga bapanya hingga ke akhir hayat dan tidak membenarkan lelaki itu bekerja kerana penyakit yang dialami.
“Abah ada penyakit darah tinggi dan jantung, jalan lebih sikit pun abah akan cepat penat, jadi memang saya akan pastikan abah cukup rehat dan saya akan tunaikan amanah arwah ibu yang mahukan saya terus menjaga dan sayang abah tanpa melihat kisah silamnya.
“Sekarang ini pun, saya perasan abah kuat termenung, mungkin abah rindu arwah ibu. Kadangkala juga saya akan sediakan makanan kesukaan abah seperti mana yang pernah ibu sediakan untuknya dahulu. Jadilah buat abah lepas rindu,” katanya kepada Kosmo!.















