Nariyah menunjukkan ketupat palas yang sudah disiapkan.

Jamu 500 ketupat palas untuk anak, cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang suri rumah membuat lebih 500 biji ke­tupat palas untuk dijamu kepada anak-anak, menantu dan cucu yang pulang beraya di rumahnya di Bandar Lama di sini pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Nariyah Awang, 59, membuat ketupat palas pulut dan pulut hitam sejak tiga hari lalu sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sambutan 1 Syawal secara mengejut sekali lagi tahun ini.

Menurutnya, dia teruja membuat kesemua ketupat itu untuk menyambut lima orang anak yang akan pulang beraya.

“Paling jauh, anak sulung saya yang bekerja di Jitra, Kedah akan pulang selepas dua tahun tidak beraya bersama.

“Saya telah membuat ketupat palas secara sejuk beku kerana tidak sabar ingin meraikan hari raya bersama keluarga dan jiran tetangga. Ketika ini, saya hanya menunggu masa untuk merebus ketupat-ketupat itu pada malam raya,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! semalam.

Nariyah memberitahu, dia te­ruja untuk beraya pada tahun ini selepas dua tahun menyambut suasana raya secara hambar akibat pandemik Covid-19.

“Suami saya meninggal dunia sejak dua tahun lalu. Jadi, tahun ini meriah apabila anak-anak turut bergotong-royong membuat kuih raya dan tapai pulut.

“Meskipun berdepan kenaikan kos bahan mentah, namun hari raya perlu disambut sebagai tanda kesyukuran selepas ber­puasa,” katanya.

Tambahnya, dia juga tidak risau sekiranya ‘raya terkejut’ ke­rana ketupat palas dan kuih telah disediakan lebih awal.

Di Kuala Lumpur, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membuat kelainan apabila menyediakan pesawat Airbus A400M dan Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai ha­diah untuk 20 penuntutnya pulang ke Sabah dan Sarawak me­nyambut raya.

Pelajar UPNM menunjukkan tanda bagus ketika menaiki pesawat untuk pulang beraya di Sabah dan Sarawak semalam.

UPNM dalam satu kenyataan berkata, mereka dihantar melalui Lapangan Terbang Pangkalan Udara Subang ke Kuching, Sarawak serta dua daerah di Sabah melibatkan Kota Kinabalu dan Tawau.

“Kepulangan anak-anak ke kampung halaman yang jauh di Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sememangnya dinanti-nantikan oleh keluarga tercinta.

“Selain daripada melepaskan rindu setelah sekian lama berkelana menimba ilmu di gedung menara gading, para mahasiswa turut dapat meraikan hari raya bersama-sama saudara mara dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran,” katanya.

Sementara itu, pelajar ­Diploma Kecergasan Pertahanan, Aliea Maisarah melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah serta pihak TUDM kerana cakna membantu para pelajar dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman ma­sing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN